KUALA LUMPUR: Khabar angin kononnya wujud usaha menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN) versi kedua oleh PAS tidak akan sesekali diendahkan UMNO.
Tegas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Datuk Dr Puad Zarkashi UMNO tidak akan masuk kali kedua ke ‘lubang biawak’ PAS.
“Ia membuka jalan terbentuk kerajaan baru. Sebab itu secara tiba-tiba mereka bernada lembut pasal isu ‘Bossku’.
“Sila lupakan kalau itu objektif mereka kerana UMNO tidak akan masuk kali kedua ke lubang biawak. Pokoknya kamu ‘the loser’,” katanya.
UMNO dan PAS pernah bekerjasama dengan menubuhkan Muafakat Nasional (MN) pada September 2019 ketika kedua-duanya menjadi pembangkang susulan kejayaan Pakatan Harapan (PH) pada PRU14, Mei 2018.
Bagaimanapun Kerjasama politik itu tidak bertahan lama apabila PAS memilih haluan baru Bersama Bersatu dengan mewujudkan Perikatan Nasional (PN) pada tahun 2022.
Ketika itu PAS masih mahu kerjasamanya Bersama UMNO diteruskan.
Dalam pada itu, Puad mendakwa PAS dan Bersatu mempunyai niat tersendiri dalam penganjuran perhimpunan solidariti Najib, Isnin lalu.
“PAS dan Bersatu kecewa UMNO membatalkan perhimpunan solidariti Najib. Niat mereka ialah menjadikannya sebagai ‘perhimpunan Melayu terancam’. Itu naratif yang mereka mahu mainkan.
“Mereka mahu kejayaan perhimpunan ICERD (Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum) berulang,” dakwanya.