PAS Kata MN Belum ‘Mati’ Lagi

MUAR: Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mendakwa Muafakat Nasional (MN) yang diikat antara partinya dan UMNO masih wujud dan belum ‘mati’ lagi.

“Walaupun tidak nampak hidup, tapi dia (Muafakat Nasional) tidak mati,” katanya kepada media selepas ceramah berkelompok di di Simpang Jeram, malam tadi.

MN yang diwujudkan bersama-sama UMNO pada 2019 bagaimanapun mula menunjukkan keretakan dan ketegangan di antara dua parti berkenaan, susulan tindakan PAS bekerjasama dengan Bersatu.

UMNO pula menolak sebarang bentuk kerjasama dengan parti serpihannya itu.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim menjelaskan kedudukan MN tergantung apabila tiada parti yang menarik diri daripada kesatuan itu membuatkan gabungan itu tidak dikuburkan.

“Secara prinsip walau tak nampak hidup dia (Muafakat Nasional) tak mati, status sebagaimana ada dia ada tiada satu parti isytihar tarik diri atau bubar.

“Tak masuk ICU lagi sebab kita dalam Kabinet bersama dalam mesyuarat Kabinet UMNO dokong kepimpinan Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) buat kerja untuk rakyat tak kira parti.

“Dalam konteks ini perhubungan baik kita turun berkempen memperkasakan agenda parti masing-masing,” katanya.

Bagaimanapun beliau memaklumkan

status MN akan diketahui selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diadakan.

“Selepas PRN Johor kita akan tengok dan akan buat penilaian semula,” katanya.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu juga berkata, mesyuarat PAS dan UMNO di peringkat jawatankuasa induk MN sudah lama tidak berlangsung.

Tuan Ibrahim dalam masa yang sama mendakwa PAS akan terus mendokong persepakatan dalam MN demi penyatuan orang Melayu.

“Sebenanrya tengok (keadaan) kalau ibarat di luar negara pokok musim sejuk macam mati namun bila musim bunga dia hidup semula, harapan kita di PAS dan Bersatu kita melihat penyatuan ummah kita dokong.

“Bila dia tulis surat setuju terima tapi tiada jawapan tak mengapa PAS akan terus dokongan PN. MN tak bincang tutup fail dulu sementara hadapi pilihan raya bersama kekuatan PN.

“Kita tak toleh kebelakang, kita ke depan dan ini yang berlaku dan PRU15 PN akan kita kukuhkan hadapi sesiapa sahaja akan datang,” jelasnya.

BBerkaitan

Latest articles