PAS Kata Dakwaan PM Kena Ugutan Sebagai Pelik, Lucu, Tunggang Keadaan Tunjuk Hebat

KUALA LUMPUR: PAS mengkritik dakwaan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang beliau menerima ugutan daripada beberapa pihak luar kerana kelantangan menentag penindasan Israel terhadap rakyat Palestin.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menyifatkan pendedahan ugutan Perdana Menteri itu sebagai pelik malah melucukan.

Malah PAS mempersoalkan tindakan Anwar itu seperti hendak menonjolkan “kehebatan dan kepentingan” dirinya, dengan mendakwa pentadbiran kerajaan pimpinan beliau masih terdesak untuk mendapatkan sokongan dan kepercayaan rakyat.

“Lebih malang lagi, dakwaan itu dibuat dalam acara yang sepatutnya didedikasikan sepenuhnya kepada perjuangan rakyat Palestin, bukan menunggangnya untuk menunjukkan kehebatan seseorang pemimpin.

“Selain itu ia juga boleh pula menimbulkan imej tidak positif terhadap negara kerana perdana menteri membuat dakwaan rambang dan khayalan sedemikian,” katanya dalam kenyataan.

Bahkan Takiyuddin mendesak kerajaan memanggil duta atau wakil negara terbabit bagi menyampaikan bantahan.

Terdahulu, Anwar pada semalam mendakwa seorang Ahli Parlimen daripada Eropah mengugut untuk mengenakan sekatan terhadap Malaysia.

Anwar bagaimanapun menegaskan beliau tidak akan melayan apa jua kecaman dan ugutan pihak negara besar dan terus dengan perjuangan keadilan Palestin.

BBerkaitan

Latest articles