Pas IMM13 Bukan Usaha Me’warganegara’kan Pendatang Filipina – KDN

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Jonathan Yasin menegaskan pas IMM13 yang bakal menjadi dokumen perjalanan tunggal untuk pendatang dari Filipina bukan lesen untuk mengesahkan kemasukan mereka ke Sabah.

Ujarnya, kerajaan kini sedang menyasarkan mereka yang memasuki Sabah menggunakan Borang HIF22 yang dikeluarkan pada tahun 1970-an, iaitu pelarian dari perang; Kad Burung-burung yang dikeluarkan pada tahun 1970 sehingga 2000; Sijil Banci yang dikeluarkan pada tahun 1990 hingga 1991 dan pas IMM13 yang menggantikan penggunaan Sijil Banci dan Kas Burung-Burung.

Dipercayai pendatang Filipina yang memasuki Sabah dengan menggunakan empat pas seperti yang disebutkan berjumlah 130,000 orang.

Ia selaras dengan kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang semalam berkata kerajaan bercadang menjadikan pas IMM13 sebagai dokumen perjalanan tunggal untuk warga asing Filipina di Sabah.

Kerajaan katanya akan hanya mengiktiraf dokumen IMM13 yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen kepada pelarian yang melarikan diri ke Sabah semasa perang saudara di selatan Filipina semasa 1970-an.

Kementerian akan menilai dan mengenal pasti mereka yang memegang dokumen IMM13 dan kemudian menyerahkan kepada kerajaan negara asal mereka untuk mengeluarkan dokumen perjalanan yang teratur kepada mereka yang berkenaan.

Jonathan dalam masa sama menjawab persoalan mengapa kerajaan tidak menghantar kesemua pelarian ini ke negara asal dan membiarkan ramai di kalangan mereka tinggal di Sabah.

“Persoalannya ialah kenapakah Kerajaan Malaysia pada masa ini tidak mendeportasi balik pelarian yang dalam kategori nombor dua ini sedangkan kejadian perang seperti tahun 1970an tidak berlaku lagi pd masa sekarang?

“Jawapannya ialah kerana Kerajaan Filipina tidak memberi pengesahan bahawa mereka yg tergolong dalam 2 (a), (b), (c) dan (d) adalah warga mereka dan kesanggupan mereka untuk memberikan dokumen yang sah kepada golongan ini dan menerima mereka semula ke negara mereka. Jika Kerajaan Filipina memberi pengesahan dan dokumen sah kepada golongan ini sebagai warga mereka maka sudah lama mereka dihantar balik.

“Jika ada yang memikirkan bahawa tujuan IMM13 digunakan sebagai ‘single document’ untukk mengesahkan ‘semua pelarian atau pti’ yang ada di Sabah, maka itu adalah kenyataan yang salah kerana IMM13 ini hanya menyasarkan mereka yand dalam kategori nombor dua.

“Tujuan ‘Single document’ ini pula seperti yang ditekankan oleh Kerajaan PN yang baru adalah untuk tujuan merundingkan dengan Kerajaan Filipina supaya Kerajaan Filipina mengiktiraf warga mereka dan warga Filipina ini diberi kewarganegaraan Filipina. Jika mereka mahu duduk di negara ini maka mereka mesti menggunakan passport Filipina,” demikian memetik reaksinya yang dimuatnaik di laman Faebooknya.

Sehubungan itu, tegas Jonathan, dasar terbaru kerajaan dalam memperkenalkan ‘single document’ IMM13 jelas menunjukkan tidak ada projek kad pengenalan diberikan kepada pendatang dari Filipina untuk dijadikan warganegara.

Hamzah pada semalam turut menambah penyelarasan KDN ini terhadap pas IMM13 bakal menjadi dokumen pengenalan tunggal kepada warga asing dari Filipina di Sabah secara berperingkat.

BBerkaitan

Latest articles