PAS Hantar Surat Kepada Ku Li Berhubung Tuduhan ‘Pelacur Politik’

Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan tuduhan Tengku Razaleigh Hamzah bahawa parti itu sebagai ‘pelacur politik’ adalah tidak wajar apatah lagi kenyataan itu dibuat secara terbuka menerusi mediaz

Sehubungan itu PAS akan menghantar surat kepada Tengku Razaleigh Hamzah yang juga Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO untuk menzahirkan kekesalan berhubung tindakan veteran UMNO itu yang membuat label sedemikian rupa.

“Kita (PAS dan UMNO) ada hubungan baik dalam Muafakat Nasional (MN) dan kita ada platform untuk bincang apa-apa yang kita rasa tidak setuju. Mesyuarat MN pun terus berjalan dua minggu sekali dan di situ kita tidak ada isu pun. Kenyataan yang tidak membantu seperti ini perlu dihentikan oleh mana-mana pihak,” katanya.

Tuan Ibrahim, bagaimanapun menyifatkan ia adalah pendapat peribadi Tengku Razaleigh dan tidak mewakili keseluruhan UMNO.

Baru-baru ini, Tengku Razaleigh atau Ku Li menerusi satu wawancara dengan sebuah portal berita dilapor melabelkan PAS sebagai ‘pelacur politik’ yang perlu ditewaskan pada pilihan raya umum akan datang.

Kononnya ia berpunca dari tindakan PAS dalam beberapa pilihan raya kecil sebelum ini sebagai bukti parti berkenaan tidak boleh dipercayai.

Terdahulu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang meminta orang ramai untuk menilai sendiri tuduhan Ku Li yang dilemparkan terhadap parti itu, namun PAS mengambil pendekatan sentiasa mengutamakan dan meneruskan usaha penyatuan Ummah yang telah diperjuangkan sejak sekian lama.

“Penyatuan Ummah ini yang pertama orang Islam, yang kedua (penyatuan) manusia. Mana yang ekstrem kita tolak. Kita bukan sahaja hendak satukan PAS dan UMNO tetapi semua sekali. Kita tidak terhad,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles