KANGAR: PAS mengumumkan keahlian tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) di Perlis terhenti serta-merta, sekali gus mencetuskan gelombang baharu pergolakan politik di negeri itu yang kini berdepan isu majoriti pentadbiran.
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, memaklumkan keputusan itu membabitkan Saad Seman (Chuping), Anwar Ismail (Bintong) dan Ridzuan Hashim (Guar Sanji), selepas mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang diadakan semalam.
Menurut Hadi, ketetapan tersebut dibuat berlandaskan Fasal 76 dan Fasal 15A(1)(b) Perlembagaan PAS.
Beliau berkata, PAS akan segera memaklumkan keputusan itu secara rasmi kepada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis bagi memenuhi keperluan Perkara 50A(1)(a)(ii) Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis (Pindaan) 2022.
“PAS akan memaklumkan ketetapan ini kepada Speaker DUN Perlis serta-merta,” menurut kenyataan ringkas beliau hari ini.
Berdasarkan Perlembagaan PAS Pindaan 2025 yang disiarkan di laman rasmi parti itu, Fasal 15A(1)(b) menetapkan keahlian seorang Adun terhenti secara automatik sekiranya wakil rakyat berkenaan menyertai atau menyatakan sokongan kepada mana-mana pihak yang bertentangan dengan arahan atau pendirian parti.
Fasal 76 pula menyentuh peruntukan berkaitan tatertib ahli.
Bagaimanapun, kenyataan Hadi tidak memperincikan tindakan khusus tiga Adun berkenaan yang membawa kepada penguatkuasaan kedua-dua fasal tersebut.
Perkembangan itu berlaku susulan laporan sebelum ini yang mendakwa lapan Adun telah menyerahkan akuan berkanun kepada Raja Perlis pada Jumaat lalu, menyatakan mereka tidak lagi menyokong Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli.
Selain tiga Adun PAS berkenaan, lima lagi wakil rakyat Bersatu turut dikatakan menarik sokongan, iaitu Abu Bakar Hamzah (Kuala Perlis), Izizam Ibrahim (Titi Tinggi), Megat Hashirat Hassan (Pauh), Wan Zikri Afthar Ishak (Tambun Tulang) dan Marzita Mansor (Sena).
Situasi itu dilaporkan menggugat kedudukan majoriti mudah Shukri di DUN Perlis. Sebelum krisis tercetus, PAS memiliki sembilan kerusi manakala Bersatu lima kerusi daripada keseluruhan 15 kerusi DUN.
Pada Selas, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim, menafikan dakwaan wujudnya ‘pakatan terancang’ melibatkan lapan Adun terbabit.
Namun semalam, Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari, meluahkan rasa hairan terhadap tindakan pihak tertentu yang masih mengemukakan nama calon menteri besar di sebalik ketidaktentuan politik negeri itu.
Kenyataan tersebut menyusuli laporan sebuah akhbar tempatan yang mendakwa Bersatu telah mengemukakan tiga nama Adunnya sebagai calon menteri besar, iaitu Abu Bakar Hamzah, Megat Hashirat Hassan dan Izizam Ibrahim.
Dalam perkembangan berkaitan, Pakatan Harapan (PH) Perlis yang hanya memiliki satu kerusi DUN, hari ini mengisytiharkan sokongan kepada pentadbiran sedia ada untuk terus mentadbir sehingga tamat penggal, sekali gus menambah dimensi baharu kepada kemelut politik yang sedang melanda Perlis.










