PAS Enggan Umum Calon PM, Bimbang Jadi Mangsa Serangan Politik

SHAH ALAM: PAS mengambil langkah berhati-hati dengan tidak menamakan calon Perdana Menteri lebih awal bagi mengelakkan individu yang dipilih menjadi sasaran serangan musuh politik.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata pengalaman politik lalu membuktikan mana-mana tokoh yang diumumkan sebagai calon perdana menteri akan berdepan tekanan hebat dan pelbagai bentuk serangan sehingga mampu menjejaskan masa depan politik mereka.

“Insya-Allah, PAS mampu menerajui (negara). Cuma, kita belajar daripada pengalaman lalu, apabila kita umum awal, semua senjata akan tertumpu kepada calon kita,” katanya ketika menggulung ucapan dasar Presiden pada Muktamar Tahunan PAS Pusat ke-71, hari ini.

Tuan Ibrahim turut mengimbau bagaimana pengasas al-Arqam, Ustaz Ashaari Mohamad, pernah digambarkan sebagai calon Perdana Menteri keenam sebelum rangkaian perniagaan dan pergerakan beliau ditekan serta diharamkan.

Katanya, situasi itu menjadi bukti bahawa pengumuman terlalu awal hanya membuka ruang kepada lawan untuk menyerang habis-habisan.

Mengulas desakan pelbagai pihak yang mahu PAS segera menamakan calon Perdana Menteri, Tuan Ibrahim menegaskan sokongan rakyat kepada parti itu semakin meningkat kerana mereka sudah hilang keyakinan terhadap kepimpinan sedia ada.

“Ramai yang bertanya siapa calon perdana menteri daripada PAS. Mereka tidak sabar kerana sudah tidak percaya dengan menteri yang ada sekarang.

“Mursyidul Am kata kita ada tiga lori (calon PM). Kita tidak pernah kekurangan pemimpin untuk memimpin negara,” ujarnya.

Beliau menegaskan, biarpun PAS berdepan pelbagai cabaran dan serangan, parti itu tetap yakin mampu bangkit untuk menawan hati rakyat menjelang Pilihan Raya Umum ke-16.

“PAS tidak pernah kekurangan pemimpin. Kita bangkit daripada tribulasi dan tekanan, dan Insya-Allah, dengan kesabaran serta kekuatan yang ada, kita mampu menerajui negara,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles