KUALA LUMPUR: PAS menegaskan tidak akan terburu-buru menamakan calon Perdana Menteri (PM) daripada parti itu kerana bimbang wujud risiko keselamatan, sogokan serta cubaan memerangkap individu tersebut sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan.
Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, jika calon diumumkan terlalu awal, tidak mustahil ada pihak cuba menabur rasuah atau meletakkan bahan terlarang seperti jongkong emas atau dadah dalam kenderaan calon terbabit bagi menjatuhkan kelayakannya.
“Jika kita umum sekarang, calon itu boleh disogok atau dijebak. Ini perkara bahaya,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2026 di Parlimen, hari ini.
Menurut Abdul Hadi, keutamaan PAS dan Perikatan Nasional (PN) adalah memenangi PRU terlebih dahulu, sebelum menentukan siapa akan dilantik sebagai Perdana Menteri.
“PRU pun belum menang, tetapi mahu calon PM diumum. Yang penting ialah memilih calon berintegriti dan memastikan dia menang dulu,” tegasnya.
Isu calon PM PN kembali hangat selepas Persidangan Tahunan Bersatu meluluskan usul menamakan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri.
Namun, beberapa pemimpin PAS membantah kerana menganggap keputusan itu dibuat tanpa persetujuan Majlis Presiden PN, selain menyatakan PAS juga mempunyai tokoh layak dicalonkan.
Sebelum ini, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin menyindir Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong yang mendesak PN menamakan calon PM.
Menurut Hamzah, semua ahli Parlimen PN sudah pun mengetahui calon mereka dan mencabar wakil DAP itu menyertai PN jika benar ingin tahu.
Dalam pada itu, Abdul Hadi (PN-Marang) berkata PN bersedia melakukan reformasi kepimpinan negara sekiranya diberi mandat memerintah, terutama dalam menangani rasuah yang menurutnya gagal dibendung kerajaan hari ini.
Beliau menegaskan PAS memilih calon berdasarkan prinsip Islam seperti berilmu, berakhlak dan berintegriti, dan tidak akan berkompromi dengan pemimpin yang terlibat salah laku.
“Jika ada pemimpin PAS terlibat isu moral atau parti, kita pecat walaupun hilang kerusi,” ujarnya.