PAS Dah Biasa Dengan Permainan Lompat Parti

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan tindakan lompat parti yang dilakukan oleh beberapa wakil rakyat adalah perkara biasa, lebih-lebih lagi dalam sistem demokrasi yang menjadikan politik terlalu dinamik.

Tegas Hadi, PAS merupakan sebuah parti yang paling berpengalaman dalam menghadapi perangai politik melompat parti.

“Maka, terdapat makhluk manusia yang berakal berubah fikirannya dengan kematangan, bahkan terdapat juga yang hanyut kerana gelombang yang memabukkan fikirannya.

“Sama ada disebabkan oleh tekanan hidup yang mencabar atau tekanan perjuangan yang menyusahkan,” katanya menerusi tulisan Minda Presiden PAS hari ini.

Menurut Abdul Hadi, khusus bagi PAS yang meletakkan Islam menjadi dasar perjuangan, pergerakan dan aktivitinya, maka parti wajib berpandukan kepada Islam dalam perjalanan serta hala tujunya.

Kata Hadi, mereka wajib beristiqamah untuk menegakkan Islam sehingga banyak cabaran yang akan ditempuhi dan jauh perjalanannya yang akan dilalui.

“Hanya mereka yang berjati diri dan berjiwa kental bersama aqidah Islam sahaja yang akan terus beristiqamah melangsungkan perjuangannya.

“Mereka yang rapuh akan melompat keluar parti, namun PAS terus menerima pendatang baharu dan menambahkan jumlah ahli yang akan terus mengalami proses tarbiah,” katanya.

Bagaimanapun tidak dapat dipastikan kenyataan Hadi itu merujuk kepada mana-mana pihak.

Sejak dua minggu lalu, beberapa Ahli Parlimen PKR bertindak meninggalkan parti bagi memberi sokongan kepaada kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

BBerkaitan

Latest articles