PAS Bincang Pelaksanaan Hukuman Sebat Di Khalayak Di Negeri PN Pada Mesyuarat Majlis Syura Ulama

KUALA LUMPUR: Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin akan membawa cadangan pelaksanaan hukuman sebat di khalayak ramai di semua negeri ditadbir Perikatan Nasional (PN), menerusi mesyuarat Majlis Syura Ulama yang dijangka diadakan tahun depan.

Bagaimanapun katanya, pelaksanaan hukuman sebat di khalayak ramai di negeri ditadbir PN tidak perlu dilakukan secara tergesa-gesa.

“Selepas hukuman sebat di khalayak ramai pertama kali dilaksanakan di Terengganu baru-baru ini, saya berpendapat ia wajar diperluaskan ke negeri lain yang ditadbir PN.

“Namun, ini hanya cadangan saya dan saya sedar banyak persiapan perlu dilakukan sebelum pelaksanaan itu dibuat.

“Perbincangan dengan pihak berkuasa seperti polis, jabatan agama, dan agensi berkaitan lain perlu diadakan sebelum hukuman ini dibenarkan.

“Saya juga merancang untuk membawa isu ini ke mesyuarat Majlis Syura tahun depan,” katanya, lapor BH.

Hashim berkata, langkah terbabit seharusnya menjadi contoh kepada negeri lain dalam menguatkuasakan undang-undang Islam berkenaan.

“Hukuman sebat di khalayak ramai bukan tindakan kejam, tetapi lebih kepada mendidik pesalah dan memberi kesedaran kepada mereka yang menyaksikan hukuman itu,” katanya.

Terengganu menjadi negeri pertama di negara ini melaksanakan hukuman sebatan di khalayak ramai.

Selain Terengganu, negeri lain diperintah PAS atau pentadbiran PN ialah Kelantan, Kedah dan Perlis.

Pada 27 Disember lalu, seorang tukang rumah, Mohd Affendi Awang, 42, menjadi individu pertama di Terengganu yang dijatuhi hukuman enam sebatan di khalayak ramai atas kesalahan khalwat berulang.

Proses hukuman itu dilaksanakan di dewan Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Kuala Terengganu.

Affendi mengaku bersalah atas tuduhan di bawah Seksyen 31(a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Pindaan) Terengganu 2022.

Sementara itu, Hashim berkata, pihaknya turut mengucapkan tahniah kepada Terengganu atas pelaksanaan hukuman berkenaan.

BBerkaitan

Latest articles