PAS Bentang Usul Undi Percaya Sokong Muhyiddin Pada Sidang Parlimen Akan Datang

Satu usul undi percaya kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan dikemukakan PAS pada sidang Dewan Rakyat yang akan bermula 13 Julai depan.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata usul itu sebagai satu manifestasi buat Muhyiddin bahawa parti itu menyokong kepimpinan kerajaan pada hari ini.

“PAS yakin kepimpinan Perdana Menteri akan terus mendapat sokongan malah sanjungan dari rakyat jelata pelbagai kaum dengan perkhidmatan terbaik atas sokongan dan komitmen seluruh jentera kerajaan, sama ada peringkat Persekutuan mahupun sebahagian besar kerajaan-kerajaan Negeri.

“Segala pakej rangsangan ekonomi yang digerakkan oleh kerajaan pula telah disambut baik oleh semua sektor yang bergerak serentak ke arah pemulihan ekonomi negara,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Takiyuddin percaya usul tersebut akan disokong oleh majoriti wakil rakyat di Dewan Rakyat pada bulan hadapan.

Baru-baru ini bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata pembangkang akan membentangkan usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin.

Dalam temubualnya bersama akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily, Dr Mahathir berkata usul yang sama akan dibawa semasa proses pengundian untuk Bajet 2021 sekiranya Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Aridd Md Yusof menolak usul berkenaan.

Sidang Dewan Rakyat dijadualkan berlangsung dari 13 Julai hingga 27 Ogos depan.

BBerkaitan

Latest articles