PAS Ambil Tindakan Saman Terhadap Nga Kor Ming Berhubung ‘Fitnah Jahat’ Mengenai Sambutan Krismas

KUALA LUMPUR: Pas akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming berhubung ‘tohmahan dayus’ dan ‘fitnah jahat’ berkait kritikan parti itu mengenai sambutan perayaan Krismas anjuran kementerian tersebut.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, Pas memandang serius kenyataan melampau dan penuh emosi Kor Ming baru-baru ini yang antara lain menuduh Pas sebagai ‘sesat’, ‘menyebar ajaran sesat’, ‘menunggang agama’, ‘merosakkan keharmonian masyarakat’ dan ‘menyekat sambutan Krismas’.

“PAS meletakkan liabiliti sepenuhnya kepada pemimpin DAP yang menjadi menteri ini sekiranya akibat keceluparannya akan mencetuskan ketegangan dan mengulangi sejarah hitam dalam negara yang tidak pun menguntungkan mana-mana pihak,” katanya dalam kenyataan.

“Di sebalik cakap tentang keharmonian, perpaduan, kesatuan dalam kepelbagaian, saling-menghormati dan sebagainya, Nga sendiri tanpa segan silu melanggar dan mencabar bukan sahaja bidang kuasa pihak berkuasa agama, malah secara terang-terangan mencampuri urusan agama Islam.”

Takiyuddin berkata, dengan menyebut bahawa PAS bukan sahaja “sesat” tetapi “menyebarkan ajaran sesat”, Nga boleh dianggap turut melanggar hak dan sempadan kuasa serta kedudukan Yang Dipertuan Agong dan Raja-raja sebagai ketua agama Islam.

“Beliau juga mencabar bidang kuasa Majlis Fatwa Kebangsaan dan pihak-pihak berkuasa agama yang bertanggungjawab ke atas penentuan status keagamaan mana-mana orang atau kumpulan orang Islam. Kuasa ini tidak dimiliki oleh orang atau pihak lain lebih-lebih lagi seorang bukan Islam,” katanya.

Takiyuddin turut menafikan dakwaan Nga yang menyifatkan ucapan selamat sempena sambutan Krismas daripada PAS sebagai “hipokrasi tertinggi” kerana mengkritik sambutan Krismas oeh Kementerian itu.

“Perlu ditegaskan di sini bahawa ucapan selamat sempena sambutan perayaan agama dan budaya masyarakat di negara ini, baik Kristian, Buddha, Hindu dan sebagainya, telah menjadi amalan PAS sejak bertahun-tahun sebagai tanda penerimaan dan penghormatan terhadap kepelbagaian agama dan budaya yang menjadi ciri penting masyarakat kita,” tegasnya.

Sehubungan itu, beliau menggesa KPKT atau mana-mana pihak lain lebih peka dan berhati-hati pada masa akan datang dalam isu melibatkan hukum-hakam agama termasuk dalam sambutan perayaan-perayaan.

“Hal ini kerana sikap sambil lewa, tidak peduli atau tidak sensitif bukan sahaja boleh membawa kesan buruk ke atas orang Islam, tetapi juga hubungan baik antara kaum dan agama,” katanya.

Kontroversi itu muncul selepas satu video menunjukkan Nga menghadiri sambutan Krismas di kementeriannya.

Naib Ketua Pemuda PAS Hanif Jamaluddin kemudian mengkritik majlis itu kerana melibatkan kakitangan beragama Islam.

Hanif antara lain mempersoalkan sensitiviti kementerian berkait isu itu, sekali gus mengepilkan garis panduan Majlis Fatwa Kebangsaan 2005 berhubung penglibatan orang Islam dalam acara merayakan hari kebesaran agama orang bukan Islam.

Turut dikepilkan, ialah penjelasan berhubung hukum orang Islam menyertai acara “Christmas Carolling” daripada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (Irsyad Hukum Siri ke 818, 24 Disember 2023).

BBerkaitan

Latest articles