PAS Akui Malu Pesta Gay Di Kelantan, Seru Rakyat Banteras Budaya Songsang

KOTA BHARU: Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari mengakui serbuan terhadap satu pesta gay di Kelantan baru-baru ini mencetuskan rasa malu, lebih-lebih lagi apabila ia berlaku di negeri yang sinonim dengan gelaran ‘Serambi Mekah’.

Namun, menurut Ahli Parlimen Pasir Mas itu, rasa malu itu tidak boleh mengatasi keperluan untuk bertindak tegas membanteras kemungkaran, walau sepahit mana pun ia diterima.

“Ia memang memalukan kerana berlaku di Kelantan. Tetapi yang lebih penting adalah keberanian bertindak, bukan menutup mata demi jaga imej,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook hari ini.

Ahmad Fadhli turut membandingkan insiden serbuan di Kelantan dengan beberapa kes seumpamanya di negeri lain seperti serbuan ke atas Kelab Blue Boy di ibu negara pada 2018, pesta Halloween LGBT di Johor Bahru (2022) dan pesta seks di kondominium Pulau Pinang pada 2022, yang menurutnya tidak mendapat reaksi “malu” yang sama.

“Bila berlaku di tempat lain, ia dianggap biasa. Tapi bila di Kelantan, kita dikata gagal jaga imej negeri Islam,” ujarnya sinis.

Mengulas lanjut, beliau mengucapkan tahniah kepada Polis Kelantan atas tindakan tegas menyerbu pesta yang disertai lebih 100 lelaki itu dan menyifatkannya sebagai langkah penting dalam memelihara maruah negeri.

“Polis mesti terus konsisten membanteras budaya songsang ini hingga ke akar umbi. Budaya ini tiada tempat di bumi Kelantan,” tegasnya.

Ahmad Fadhli turut menggesa supaya Kerajaan Negeri Kelantan diberikan ruang yang lebih luas untuk menggubal undang-undang syariah yang lebih tegas, selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

Beliau merujuk keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2021 yang membatalkan satu peruntukan Enakmen Syariah Kelantan kerana bertindih dengan undang-undang persekutuan.

“Kita perlu teroka ruang undang-undang yang masih boleh digunakan untuk menggubal tindakan pencegahan yang lebih keras, tetapi sah di sisi perlembagaan,” katanya.

Media melaporkan serbuan dilakukan polis pada jam 1 pagi pertengahan Jun lalu di sebuah banglo di Kemumin, Kota Bharu yang disyaki menjadi lokasi pesta melibatkan komuniti gay.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, berkata serbuan itu adalah hasil maklumat awam serta intipan pasukan khas. Ketika serbuan, hanya tinggal kira-kira 20 individu selepas ramai meninggalkan lokasi sekitar tengah malam.

Polis turut menemui ratusan kondom dan ubat berkaitan HIV, dan siasatan lanjut mendapati ia dianjurkan secara percuma dan dipromosi melalui media sosial.

BBerkaitan

Latest articles