KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin mendakwa menerima permohonan daripada sekurang-kurangnya lima parti politik yang dikatakan berminat menyertai gabungan itu.
Ujarnya permohonan rasmi daripada parti di Sabah dan Semenanjung itu diterima sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bermula.
“Ada banyak, lebih daripada lima. Dari Sabah ada, yang di Semenanjung pun ada.
“Mereka sudah tulis surat mahu bersama kita tetapi permohonan masih dalam proses penelitian, di samping memberi peluang kita untuk fokus pada PRU15,” katanya di majlis ramah mesra calon Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Larut di Dewan Majlis Daerah Selama, Sungai Bayor, hari ini.
Pada 2020, PN dibentuk menerusi gabungan BERSATU, PAS dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) sebelum disertai Parti Maju Sabah (SAPP) dan GERAKAN.
PN mentadbir negara selama 17 bulan di bawah pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.