Parti Bangsa Malaysia Dilancar, Nama Presiden Masih Teka-Teki

KLANG: Seramai 50,000 dari 300,000 ahli Penggerak Komuniti Negara (PKN) didakwa menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) yang dilancarkan hari ini, dengan membawa agenda utama yang digelar ‘The Great Reset 2030’.

Pengerusi PKN, Nor Hizwan Ahmad bagaimanapun enggan mendedahkan siapa yang bakal menerajui parti baru berkenaan.

Antara nama yang disebut sebagai calon Presiden sebelum ini adalah Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi adalah Datuk Zuraida Kamaruddin.

Nor Hizwan, dalam masa yang sama tidak menafikan wujud nama-nama besar disebut-sebut oleh kepimpinan parti bakal menjadi Presiden, namun enggan mendedahkannya.

“Dalam konvensyen pagi tadi yang dihadiri Timbalan Presiden PBM, Larry Sng, saya difahamkan, kemungkinan PBM diarah Pendaftar Pertubuhan (ROS) untuk membuat Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) baharu atas beberapa perkara teknikal.

“Dalam masa sama, pimpinan parti sedang mempertimbangkan beberapa nama untuk dicadangkan sebagai Presiden parti. Saya terkejut kerana sebagai parti baharu nama yang disebut-sebut adalah nama-nama besar,” katanya dalam sidang akhbar pelancaran PBM, hari ini.

Nor Hizwan yang melepaskan keahlian dalam BERSATU sebelum ini berkata, sebagai ahli biasa PBM beliau menyerahkan kepada pihak pimpinan parti untuk memutuskan siapa layak menjadi Presiden PBM.

“Agenda Great Reset 2030 adalah untuk membetulkan apa yang dianggap sebagai kerencatan dan ketidakmatangan politik Malaysia selama 30 tahun dari kedua-dua belah pihak kerajaan dan pembangkang.

“Ahli PKN yang berbilang kaum akan menggunakan PBM sebagai platform politik mereka dan mahu agenda utama mereka, The Great Reset 2030, didengar dan diterima oleh seluruh rakyat  Malaysia,” jelasnya.

Nor Hizwan berkata PBM akan terus memperkasakan kekuatan ahli tersebut dan berusaha untuk menjadi lebih besar dari semasa ke semasa apabila lebih ramai wanita, generasi milenial menyertai parti itu.

Dalam majlis pelancaran itu, beliau turut melepaskan bendera Jalur Gemilang sebagai simbolik membantu mangsa banjir terutama di Selangor yang terjejas teruk akibat hujan lebat luar biasa pada Jumaat dan Sabtu lalu.

BBerkaitan

Latest articles