Parlimen Sri Lanka semalam mengundi untuk memberi kuasa lebih luas kepada Presiden, Gotabaya Rajapaksa, untuk secara peribadi melantik pegawai tertinggi dan membubarkan badan perundangan itu.
Kelulusan itu dicapai selepas perdebatan hangat selama dua hari, dengan parti pembangkang menyifatkannya sebagai usaha mewujudkan ‘diktator berperlembagaan’.
Seorang anggota parti pemerintah, SLPP, menentang usul itu, sekali gus menggugat keperluan sokongan majoriti dua pertiga untuk diluluskan, namun sokongan lapan anggota pembangkang mengatasi kemelut itu.
Sebelum ini, pemimpin popular yang dipilih sebagai presiden pada November lalu itu, dengan serta merta melantik abangnya, Mahinda Rajapaksa, yang juga bekas presiden, sebagai perdana menteri Sri Lanka.
Gotabaya adalah pegawai pertahanan utama ketika saudaranya bergelar presiden selama sedekad hingga 2015.
BACA JUGA – Zahid Umum Gencatan Politik, Utama Usaha Perangi COVID-19
Kerajaan Sri Lanka, yang mendapat sokongan politik dan diplomatik dari China, menegaskan usul itu bertujuan memperkuatkan ‘kuasa’ Rajapaksa untuk melaksanakan manifesto menjanjikan ‘kepemimpinan yang kuat’.
Bagaimanapun, Menteri Keadilan, Ali Sabry, memaklumkan Parlimen bahawa beberapa peruntukan yang memberikan kekebalan mutlak kepada Rajapaksa dan penghapusan pengawasan kewangan terhadap institusi negara terpaksa digugurkan dibatalkan selepas mendapat bantahan rakyat.
“Presiden sekarang boleh memecat mana-mana menteri, termasuk perdana menteri dan membubarkan Parlimen selepas memenuhi separuh daripada penggal lima tahun.
“Di bawah pembaharuan yang diperkenalkan pada 2015, presiden tidak dibenarkan memegang mana-mana portfolio dalam Kabinet dan boleh memecat mana-mana 225 anggota badan perundangan hanya selepas tempoh 4.5 tahun.
“Usaha kami sekarang ini adalah untuk membolehkan presiden menggunakan kuasa rakyat sekali lagi,” kata Sabry.
Rajapaksa kini boleh melantik hakim mahkamah dan jawatan penting lain dalam kerajaan iaitu fungsi yang sebelum ini menjadi tanggungjawab panel pengawasan Parlimen termasuk pesuruhjaya bebas.
Ahli Parlimen pembangkang, Gajendrakumar Ponnambalam, berkata usul berkenaan bukan saja memperkenalkan pemerintahan kuku besi, malah turut mewujudkan diktator.
Parti Muslim Utama Sri Lanka, Rauff Hakeem, berkata pembawaan usul itu membuktikan kezaliman menyusup dengan senyap.
“Parlimen akan menjadi institusi ‘pak turut’ selepas usul ini diluluskan,” katanya.
Seorang lagi pemimpin pembangkang utama mewakili parti SJB, SM Marikkar, berkata ia adalah langkah yang sama diambil oleh Adolf Hitler di Jermah pada zaman awal politiknya.
Keluarga Rajapaksa yang amat berpengaruh menguasai politik negara kepulauan itu sejak 2005. – AFP