Parlimen Lulus RUU Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 yang dibawa Kementerian Kesihatan (KKM), selepas dibentangkan Menterinya, Dr Zaliha Mustafa.

Ia diluluskan secara sebulat suara selepas 27 ahli Parlimen mengambil bahagian dalam perbahasan selama dua hari.

Perkara itu diumumkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul selepas bacaan kali kedua rang undang-undang berkenaan oleh Zaliha.

Untuk rekod banyak pihak memberi perhatian khusus terhadap RUU berkenaan, termasuk badan bukan kerajaan (NGO), ibu bapa dan pelajar.

Ini selepas larangan merokok terhadap generasi penamat (GEG) digugurkan daripada RUU Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 selepas mendapat nasihat dari Peguam Negara.

Dr Zaliha sebelum ini dilaporkan berkata, berdasarkan pandangan Peguam Negara, pihaknya tidak boleh meneruskan pembentangan di Parlimen jika terdapat kekurangan dan kelemahan terhadap RUU tersebut.

Disebabkan itu, katanya, pihak kementerian membuat keputusan untuk mengutamakan kawalan merokok terlebih dahulu sebelum memikirkan soal generasi penamat.

Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, kegagalan bacaan kali kedua RUU GEG dibentangkan di Dewan Rakyat amat menyedihkannya, yang sebelum ini berusaha mencari jalan bagi mengawal penjualan tembakau dan vape.

Khairy mendakwa, ia berpunca akibat tindakan industri tembakau dan vape melobi Peguam Negara, menggunakan hujah RUU GEG bertentangan dengan Perlembagaan.

RUU berkenaan yang dibentang pada Selasa, Fasal 13 (1) dan 13 (3) menyatakan larangan bagi menjual dan membeli produk tembakau, bahan merokok atau produk pengganti tembakau atau mengadakan apa-apa perkhidmatan untuk merokok kepada orang belum dewasa.

Fasal 17 (1) pula menyatakan larangan merokok, mengunyah dan menggunakan produk tembakau kepada orang belum dewasa iaitu di bawah usia 18 tahun.

BBerkaitan

Latest articles