KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengesahkan isu teknikal yang menjejaskan paparan graf penggunaan elektrik bagi bulan Julai di aplikasi myTNB kini telah berjaya diselesaikan sepenuhnya.
Menurut kenyataan TNB, paparan graf penggunaan harian dan bulanan kini kembali berfungsi seperti biasa.
Syarikat utiliti nasional itu juga memberi jaminan bahawa masalah tersebut tidak menjejaskan bacaan meter sebenar atau bil muktamad pelanggan bagi bulan berkenaan.
“Kami akan terus memantau prestasi sistem untuk memastikan pengalaman pengguna yang lebih lancar.
“TNB memohon maaf atas sebarang kekeliruan yang timbul dan menghargai kesabaran semua pelanggan sepanjang proses penambahbaikan ini,” jelas syarikat itu menerusi hantaran di media sosial hari ini.
Semalam, ramai pengguna media sosial meluahkan rasa terkejut apabila graf pada bil elektrik bulan Julai yang dipaparkan dalam aplikasi myTNB menunjukkan penggunaan elektrik jauh lebih tinggi berbanding bulan-bulan sebelumnya.
Susulan itu, TNB tampil menjelaskan bahawa keadaan itu berpunca daripada ralat paparan graf, bukannya peningkatan sebenar dalam penggunaan tenaga atau bacaan meter.
Bagi pelanggan yang masih mempunyai sebarang pertanyaan, TNB memaklumkan mereka boleh menghubungi syarikat itu melalui pelbagai saluran termasuk Private Message (PM) di Facebook TNB Careline, Direct Message (DM) di X (dahulu Twitter) Tenaga_Nasional atau emel ke [email protected] serta hubungi talian 1300-88-5454.