KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini mengeluarkan perintah injuksi ex-parte (satu pihak) yang melarang dan menghalang blogger Wan Muhammad Azri Wan Deris atau Papagomo daripada menerbitkan atau menyiarkan kenyataan fitnah di semua platform media sosial yang ditujukan kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain sehingga perbicaraan kes saman itu diputuskan.
Terdahulu Razarudin berjaya mendapatkan perintah injunksi sebelah pihak (ex-parte) bagi menghalang blogger berkenaan daripada terus memfitnah dirinya.
Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Gan Techiong memutuskan demikian selepas mendapati Razarudin telah menunjukkan wujudnya isu yang serius dan kes perlu dibicarakan.
“Mahkamah ini mendapati bahawa plaintif (Razarudin) telah menunjukkan bahawa wujudnya isu-isu yang serius yang perlu dibicarakan. Perkataan dan ayat-ayat yang digunakan oleh defendan (Wan Muhammad Azri) jelas merujuk kepada plaintif dan berunsur fitnah.
“Injunksi terhadap defendan wajar dikeluarkan oleh mahkamah ini dengan segera untuk melarang dan menghalang defendan sebagaimana permohonan plaintif,” kata Techiong menurut laporan Kosmo!
Techiong turut berkata, Papagomo juga diperintahkan dikehendaki menarik balik, menurunkan dan memadamkan penerbitan siaran video di Youtube, Tiktok, Facebook, Telegram dan aplikasi X miliknya bertarikh 14, 15, 20 dan 22 Disember lalu yang mengandungi kenyataan fitnah terhadap Razarudin.
Justeru mahkamah kemudian menetapkan 10 Januari depan bagi pendengaran permohonan injunksi kedua-dua belah pihak (inter-parte).
Pada minggu lalu, Razarudin memfailkan notis tuntutan saman bernilai RM3 juta terhadap blogger Wan Muhammad Azri Wan Deris atau “Papagomo” atas dakwaan memfitnah.
Peguam Raam Kumar yang mewakili Razarudin memaklumkan notis tuntutan saman berkenaan difailkan pada 26 Disember lalu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menerusi Tetuan K.B.Tan, Kumar & Partners dan beliau berkata tuntutan saman itu dihantar kepada Wan Muhammad Azri.
Peguam itu menyatakan anak guamnya menyaman blogger terbabit berhubung kenyataan fitnah yang melabelkan beliau sebagai pelacur banduan terhormat dan penjilat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Selain itu, plaintif menuntut defendan menarik balik kenyataan fitnah berkenaan atau memadamkan serta memusnahkan kesemua video, penerbitan dan mesej atau material yang merupakan fitnah oleh defendan dengan menuntut defendan membuat permohonan maaf.
Sebelum ini, media melaporkan kertas siasatan membabitkan blogger Papagomo berkaitan video tohmahan terhadap KPN dan PDRM sudah dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara pada Jumaat.
Pada 19 Disember lalu, Razarudin mengesahkan blogger terbabit diambil keterangan di Balai Polis Setapak berkaitan video berbaur fitnah dan mengaibkan KPN serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dimuat naik di YouTube.
Kes disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil, Seksyen 500 dan 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.