Pandikar Setuju Parlimen Dilanjutkan Untuk Tangani Covid-19, Stabilkan Politik Sebelum PRU15

Keadaan politik tanah air yang semakin bergolak selepas Pilihan Raya Umum ke-14 dengan menyaksikan pertukaran kerajaan sebanyak tiga kali dalam tempoh tiga tahun membuktikan ia bukan isyarat terbaik untuk mengadakan pilihan raya umum dalam masa terdekat.

Ketua Umum Usno, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata apatah lagi di kala Malaysia sedang berdepan dengan pandemik Covid-19 dan pertambahan jumlah kes yang mendadak sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, September lalu.

Tegasnya, ekonomi negara perlu dipulihkan terlebih dahulu akibat kecelaruan politik dan kesan daripada wabak yang menjejaskan majoriti besar rakyat Malaysia.

“Kini ada lagi tanda-tanda yang kita nampak dan dengar bahawa kerajaan PN sekarang ini akan tergugat juga kedudukannya.

“Persoalan yang merunsingkan fikiran ramai rakyat Malaysia sekarang ini ialah, ‘Adakah Bajet yang akan dibentangkan oleh kerajaan PN pada hujung tahun ini akan mendapat sokongan dari semua Ahli Parlimen sewaktu ianya dibahas atau ianya akan tidak mendapat kelulusan dari Parlimen?,” katanya dalam satu kenyataan.

Bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat itu juga memberi dua kemungkinan yang akan berlaku jika Parlimen enggan meluluskan pembentangan Bajet 2021.

Ujar Pandikar, situasi itu adalah parlimen dibubar dan pilihan raya diadakan mengikut Artikel 43(2) Perlembagaan Persekutuan atau parlimen akan dilanjutkan (prorogue) mengikut Artikel 55 (2) Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun melihat situasi terkini negara, beliau berpendapat adalah lebih baik jika parlimen tidak dibubarkan dalam suatu tempoh masa, atas kepentingan keselamatan rakyat Malaysia.

“…biar lah ‘Proroging’ itu dibuat bukan atas alasan untuk memanjangkan usia kerajaan PN tetapi atas alasan bahawa keselamatan rakyat Malaysia adalah lebih penting daripada pilihanraya.

“Wabak Covid-19 yang melanda di Malaysia sekarang ini disifatkan oleh pihak-pihak berwajib sebagai gelombang kedua yang lebih mengancam dari gelombang pertama.

“Terutamanya di Sabah ekoran dari mengadakan PRN16 atas agenda politik semata-mata wajar dilihat dari sudut pandangan yang amat serius dan dibuat sebagai iktibar.

“Sebagai bukti bahawa kerajaan PN sekarang ini pula amat serius dan komited untuk memerangi wabak Covid-19 ini adalah lebih baik kerajaan PN membuat rombakan Kabinet serta mengadakan Kerajaan Perihatin dengan pemimpin pembangkang PH dijemput menyertai kabinet,” ujarnya.

Komen

Berkaitan

Media Sosial

19,954FansLike
3,803FollowersFollow
20,900SubscribersSubscribe

Terkini