(PANDANGAN) Rakyat Selesa Perdana Menteri Humble

Pada 4 Oktober 2010, dalam ucapan popular Presiden Barack Obama kepada senator Amerika Syarikat, beliau memberitahu cabaran utama negara ialah politik akan mendominasi kehidupan harian manusia.

Menurut Obama, apa sahaja akan dipolitikkan.

Kata Obama, cabaran mana-mana kerajaan akan datang ialah apa sahaja yang berlaku kecil atau besar ianya akan dikaitkan dengan politik.

Ucapan Obama itu lebih 11 tahun dahulu, ianya kini sudah berlaku di negara kita.

Apa pun yang berlaku, semuanya dikaitkan dengan politik, kebenaran menjadi perkara kedua, mempolitikkannya menjadi nombor satu.

Di Indonesia, Jokowi Widodi, walaupun bukan Ketua Umum PDI-P tetapi berjaya menjadi Presiden Indonesia dua penggal, kerana sokongan PDI-P dan rakyat Indonesia.

Obama sendiri bukan Presiden parti Democrate, tetapi berjaya menjadi Presiden Amerika Syarikat dua penggal.

Kedua-dua negara berkembang maju.

Tidak ada perebutan dalaman parti yang menggoncang pentadbiran Kerajaan.

Kerajaan berfungsi dengan baik dan rakyat menerima faedah kestabilan.

Di Malaysia, apabila Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob, Naib Presiden UMNO dipilih menjadi Perdana Menteri, ianya benda baharu dalam politik Malaysia, kerana order lama politik Malaysia ialah Presiden parti akan menjadi Perdana Menteri.

Sebenarnya, perlantikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri adalah politik baharu dan perspektif baharu di Malaysia walaupun ianya sudah lama berlaku di Amerika Syarikat, Indonesia dan negara-negara maju. Lama-kelamaan kita akan biasa dengan perkara baharu ini. 

Selepas 100 Hari

Selepas 100 hari menjadi Perdana Menteri, nampaknya Ismail Sabri boleh memandu negara ini dengan aman dan damai. Dalam tempoh 100 hari itu, banyak isu besar berjaya diselesaikan dengan harmonis.

Sebenarnya, kejayaan atau kehebatan politik Ismail Sabri dibuktikan semasa tempoh 24 jam sebelum dilantik sebagai Perdana Menteri, di mana ketika itu suasana politik negara sangat kritikal.

Dalam tempoh itu, saya sendiri menjangkakan sekiranya parti-parti pemerintah gagal menemukan persefahaman politik di saat tekanan semakin kuat pengunduran Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri ketika itu, saya menjangkakan PRU15 terpaksa diadakan.

Namun begitu, dalam tempoh 24 jam sahaja Ismail Sabri berjaya menyatukan semua ketua-ketua parti politik termasuk mengajak parti-parti pembangkang bersama-sama mentadbir negara dalam kapasiti masing-masing.

Pelbagai kerjasama dibuat demi memastikan politik negara stabil dan semua pihak bersama-sama memberi fokus kepada ancaman COVID-19.

Begitu juga pengurusan COVID-19 dan banjir besar.

Saya melihat Ismail Sabri berjaya menguruskannya dengan baik.

Pada malam 18 Disember 2021, saya melihat Ismail Sabri dari pukul 10.30 malam hingga 4 subuh berada di lapangan banjir bersama-sama dengan agensi-agensi Kerajaan.

Keesokan harinya pula seawal 8 pagi sudah berada di kawasan banjir.

Ismail Sabri pada hari pertama mengaku akan sedikit kelewatan penyelarasan kerana kenaikan air secara mendadak, tetapi hari-hari seterusnya beliau berjaya menyusun semula semua agensi kerajaan dengan cepat.

Amat-amat jarang seseorang Perdana Menteri mahu mengaku kelemahan pentadbirannya, tetapi tidak bagi Ismail Sabri.

Bantuan-bantuan yang diberikan pula sangat besar dalam sejarah negara berbanding oleh Perdana Menteri yang lepas-lepas.

Hampir RM61,000 diberikan kepada mangsa banjir yang kehilangan rumah, mencecah RM5,000-RM10,000 pula dalam pelbagai kategori kepada semua mangsa banjir, dan banyak lagi anda boleh melakukan carian google sendiri.

Jumlah yang besar dan cara pengagihan bantuan yang cepat adalah suatu kebijaksanaan Ismail Sabri.

Tidak perlu memohon secara on-line, terus berikan kepada mangsa banjir kata Ismail Sabri. Dalam 5 hari sahaja, lebih separuh mangsa-mangsa banjir yang berdaftar telah diberikan pendahuluan RM1,000.00

Ismail Sabri humble seperti Obama

Dengan pelbagai ranjau dan duri yang dilalui oleh negara setahun dua ini, nampaknya rakyat bersyukur kerana mendapat seorang Perdana Menteri yang humble, tidak berkira, tidak birokrasi dan itulah kehendak rakyat Malaysia di kala ini.

Keamanan sosial dan kestabilan politik yang wujud sekarang sudah pasti akan memberi kesan positif kepada ekonomi rakyat dan negara.

Pada tahun 2022, pakar ekonomi asing meramalkan KDNK Malaysia akan meningkat mencecah 6% kedua tertinggi di ASEAN. After a “bumpy, uneven and underwhelming” growth in 2021, Maybank Investment Banking (Maybank IB) is expecting the pace of Malaysia’s gross domestic product (GDP) growth to quicken to 6 per cent in 2022.

Keyakinan ini adalah keyakinan menarik kepada rakyat Malaysia di bawah pimpinan Ismail Sabri.

Keadaan ini perlu dikekalkan sehingga habis tempoh demokrasi di Malaysia pada tahun 2023.

PRU15 bukan sesuatu yang perlu diutamakan. Betul PRU penting tetapi bukan keutamaan. Yang penting dan yang utama sekarang adalah membantu rakyat yang tertekan oleh musibah banjir besar dan pandemic COVID-19.

 

 

Dr. Al-Azharri Siddiq Kamunri merupakan lulusan dalam bidang sains politik dengan pengkhususan kepada politik dan kerajaan, keselamatan negara dan patriotisme.

 

 

BBerkaitan

Latest articles