Pameran Animasi Malaysia Catat 30,000 Pengunjung Setakat Awal Bulan Ketiga Penganjuran

KUALA LUMPUR: Pameran Animasi Malaysia: Dari Idea ke Realiti yang memasuki bulan ketiga penganjuran telah mencatatkan jumlah kehadiran pengunjung seramai hampir 30,000, menurut Timbalan Presiden Animas, Khairur Rizal Jalani.

Khairul berkata keseluruhan seramai lebih 60,000 pengunjung dijangka hadir menyaksikan pameran animasi menjelang hari terakhir pada 28 Februari yang berbaki seminggu lagi.

“Berdasarkan maklumat terkini, pameran ini telah menerima hampir 30,000 pengunjung. Dengan tren semasa, tidak mustahil jumlah ini boleh mencecah antara 60,000 hingga 70,000 menjelang 28 Februari ini,” katanya kepada The Rakyat Insight baru-baru ini.

Jelas Khairul pameran ini menampilkan pelbagai karya ikonik yang menceritakan sejarah dan perkembangan animasi tempatan antaranya Hikayat Sang Kancil, Usop Sontorian, Keluang Man, Kampung Boy Didi & Friends, termasuk yang terkini Robozeta.

“Kita punya tema “Dari Idea Ke Realiti” maksudnya idea yang kita cetuskan untuk buat kartun itu kita jadikannya animasi asalnya begitu dan pada masa yang sama kita cerita mengenai sejarah mengenai animasi di peringkat awal sehingga yang terkini,” jelasnya.

Tambahnya, pameran ini juga membuka ruang kepada pelajar, profesional dan peminat animasi untuk mempelajari dengan lebih lanjut mengenai penghasilan animasi dan penggunaan teknologi terkini, selain memberi galakan kepada mereka turut serta dalam bidang tersebut dan seterusnya berkembang dalam industri.

Pameran Animasi Malaysia: Dari Idea ke Realiti di Muzium Negara ini dilaksanakan oleh Persatuan Animasi Malaysia (ANIMAS) dengan sokongan Jabatan Muzium Negara bermula pada 21 November 2024 sehingga 28 Februari 2025 bertempat di Muzium Negara, Kuala Lumpur.

Mengulas lanjut, Khairul berkata beliau percaya industri kreatif khususnya animasi boleh memberi impak dan sumbangan kepada negara.

“…yang mana negara luar seperti Korea dan Amerika Syarikat, kebanyakan penyumbang utama adalah industri kreatif. Jadi kita juga mungkin boleh jadi seperti negara-negara maju itu.

“Cuma kita harap bakat-bakat tempatan kita akan dapat buat sesuatu yang lebih baik. Dan kita yang lama ini pun akan usaha untuk menyediakan platform ataupun ruang yang lebih baik untuk generasi yang akan datang,” tambahnya.

BBerkaitan

Latest articles