Pamer Kekuatan, Keindahan Nilai Melayu Islam Dalam Rekaan Batik

KUALA LUMPUR: Pengusaha-pengusaha batik tempatan perlu menerapkan nilai serta keindahan seni Melayu dan Islam dalam corak batik yang dihasilkan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, rekaan serta corak batik itu mestilah menampilkan kekuatan dan keindahan seni Melayu Islam tempatan dan di rantau ini.

“Saya anjurkan supaya pengusaha batik tempatan faham tentang nilai, keindahan seni Melayu dan Islam di rantau ini.

“Corak-corak itu boleh dibuat dan dikembangkan berdasarkan keaslian dan diindahkan mengikut citarasa semasa (Melayu dan Islam tempatan),” katanya ketika berucap merasmikan Karnival Barangan Malaysia, hari ini.

Hadir sama, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali serta Timbalannya, Fuziah Salleh.

Dalam masa yang sama, Anwar tidak menafikan keindahan, corak dan citarasa berbeza yang ditampilkan dalam rekaan batik dihasilkan pengusaha tempatan.

Beliau juga memaklumkan akan memakai baju batik Malaysia ketika menghadiri satu majlis sempena Persidangan Memperingati ASEAN-Jepun di Jepun pada 17 Disember ini.

“Esok petang, saya ke Tokyo, Jepun untuk mesyuarat ASEAN dan semua 10 negara ASEAN diundang Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida dan satu malam dia kata boleh pakaian sut atau pakaian rasmi. Tapi saya bagi nota balas dan cakap (maklum), saya nak pakai baju batik Malaysia.

“Sebabnya apa…saya rasa bertanggungjawab untuk promosi barangan buatan Malaysia. Saya rasa bangga (pakai) dan akan bagitau bahawa ini batik Malaysia dimana mutu dan rekaannya baik,” ujarnya.

Tambahnya, beliau mahu usaha mempromosi barangan Malaysia di peringkat antarabangsa dan tempatan dipertingkatkan dalam usaha merangsang pertumbuhan ekonomi negara.

Daripada sudut mempromosi barangan Malaysia di peringkat tempatan, Anwar berkata, beliau telah menjadikan kunjungan ke warung pada hari Jumaat untuk makan tengahari sebagai acara tetap mingguan.

“Sebelum solat Jumaat saya pergi warung dan gerai dan makan di kedai tempatan. Ini cara saya promosi barangan Malaysia. Itu yang saya lakukan sejak dilantik Perdana Menteri.

“Saya turut menyeru barisan Jemaah Menteri untuk menunjukkan kesungguhan dalam mempromosi serta menyokong barangan Malaysia.

“Saya sendiri tidak rasa kurang darjat saya makan di gerai dan warung tiap minggu…kopi atau makanan dihidang ini kadang lebih enak daripada restoran lima bintang,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles