Pamela Ling Mohon Semakan Kehakiman Terhadap Siasatan SPRM, Kes Didengar Esok

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan mendengar permohonan semakan kehakiman yang difailkan oleh Datin Seri Pamela Ling Yueh esok, berhubung siasatan ke atasnya yang didakwa tidak mengikut lunas undang-undang.

Berdasarkan maklumat di laman rasmi mahkamah, prosiding itu dijadual berlangsung di hadapan Hakim Datuk Amarjeet Singh pada sebelah pagi.

Dalam permohonannya, Pamela menamakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Ketua Pengarah Imigresen sebagai responden.

Permohonan itu difailkan pada 7 April lalu, dua hari sebelum beliau dilaporkan hilang secara misteri.

Menurut peguam keluarga, Sangeet Kaur Deo, permohonan ini bertujuan mencabar tindakan siasatan yang dijalankan SPRM terhadap Pamela, yang didakwa bersifat menekan dan menyimpang daripada tujuan asal siasatan.

“Pamela disiasat di bawah Akta SPRM dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA), namun kami difahamkan tekanan yang dikenakan ke atasnya lebih menjurus kepada masalah peribadi membabitkan rumah tangganya, bukan berkaitan kes jenayah,” kata Sangeet dalam kenyataan media bertarikh 7 Mei lalu.

Beliau turut mendakwa, Pamela telah dikenakan sekatan perjalanan sejak Oktober 2024 walaupun tidak pernah dituduh atas sebarang kesalahan dan telah memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa.

“Layanan yang diterima Pamela jauh menyimpang daripada norma terhadap seorang saksi, malah dianggap luar biasa,” ujarnya.

Pamela, 42, kali terakhir dilihat pada 9 April lalu ketika dilaporkan dalam perjalanan ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya. Menurut adiknya, Simon Ling Wan Siong, wanita itu sempat menghantar mesej kepada peguamnya pada jam 1.57 tengah hari, memaklumkan bahawa dia sedang menuju ke lokasi dengan perkhidmatan e-hailing.

Namun, selepas jam 2 petang, semua cubaan menghubunginya termasuk melalui panggilan telefon dan WhatsApp gagal.

Laporan polis mengenai kehilangannya dibuat pada jam 3.02 petang hari sama.

Timbul juga dakwaan bahawa Pamela mungkin telah ditahan oleh individu yang menyamar sebagai pegawai polis, namun perkara itu masih dalam siasatan.

BBerkaitan

Latest articles