Susulan satu majlis yang akan diadakan untuk mengesahkan perjanjian kerjasama antara Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain dengan Israel di Amerika Syarikat, esok, satu desakan daripada pemimpin Palestin terhadap seluruh masyarakat untuk mengadakan demonstrasi membantah tindakan tersebut.
“Kami mengundang rakyat kami, khususnya mereka yang berada di kem pelarian (Palestin), untuk mengecam perjanjian memalukan ini,” kata satu kenyataan yang ditandatangani oleh kumpulan-kumpulan termasuk Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) dan pemerintah Gaza, Hamas.
Kenyataan itu juga menyeru tunjuk perasaan di luar kedutaan Amerika Syarikat (AS), Israel, Bahrain dan UAE.
Pada bulan lalu, rakyat Palestin menuduh Abu Dhabi sebagai ‘menikam dari belakang’, kerana negara Teluk itu menjadi satu-satunya negara Arab ketiga selepas Mesir dan Jordan yang mengumumkan akan mengadakan hubungan formal dengan Israel.
Jumaat lalu, Bahrain mengikuti tindakan negara-negara berkenaan untuk bekerjsama dengan Israel.
Perjanjian dengan Israel dirujuk sebagai ‘perdamaian untuk perlindungan’ oleh Saeb Erekat, setiausaha agung PLO.
“Beberapa pembuat keputusan di dunia Arab sekarang percaya bahawa tahap keselamatan nasional Arab akan bergantung pada perlindungan Israel,” katanya kepada wartawan hari ini.
Erekat merujuk kepada polisi AS sejak sekian lama untuk memastikan Israel lebih kuat secara ketenteraan daripada negara-negara lain di Asia Barat.
“Negara-negara Arab tidak dibenarkan ‘memiliki kelebihan terhadap Israel dalam bidang apa pun,” kata Erekat.
Namun, polisi itu menjadi perhatian sejak beberapa minggu terakhir, mengenai laporan bahawa AS mungkin menjual jet pejuang F-35 stealth kepada Abu Dhabi sebagai sebahagian daripada perjanjian dengan Israel. –