Pakar Sokong Pelaksanaan Semula GST, Bantu Pulih Ekonomi Negara

 

KUALA LUMPUR: Tindakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) memansuhkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) selepas menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu terbukti satu kesilapan yang amat merugikan sehingga menjejaskan ekonomi negara.

Pakar ekonomi, Tan Sri Ramon Navaratnam berkata pembatalan GST yang digantikan dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) ternyata hanya meraih keuntungan politik tanpa memikirkan kebaikan untuk negara.

Beliau menjelaskan bahawa GST adalah sistem percukaian yang terbaik di dunia dan diamalkan oleh majoriti kerajaan dunia, kerana ketelusan dan pemerolehan yang luas.

“Apabila suatu sistem cukai yang diiktiraf di kebanyakan dunia dan tidak diterima di Malaysia disebabkan politik, ia sangat menyedihkan pada ekonomi kita.

“Selepas GST ditarik balik, ternyata Malaysia kehilangan pendapatan yang besar dan menyebabkan negara perlu meminjam. Apabila sesebuah negara perlu meminjam untuk perbelanjaan dan operasi bermakna ekonomi negara tidak stabil.

“Bila ekonomi negara tidak stabil bermakna Malaysia berdepan dengan masalah besar – diburukkan pula dengan pandemik Covid-19 yang masih belum ada noktah dan musibah alam yang berulang-ulang serta lonjakan inflasi sekarang.

“Peningkatan inflasi ini pula menyebabkan perbelanjaan rakyat semakin terhad, sekali gus perbelanjaan tidak boleh lagi diharap untuk memacu ekonomi negara,” katanya memetik MalaysiaGazette.

Baru-baru ini, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz memberi bayangan bahawa kerajaan berkemungkinan memperkenalkan semula GST bagi membendung masalah ketirisan cukai.

Ini memandangkan GST lebih praktikal kerana lebih efisien kerana penipuan cukai sukar dilakukan.

Tengku Zafrul berkata SST yang dilaksanakan telah menyebabkan hasil kerajaan berkurangan sehingga RM20 bilion, meskipun harga barangan kesan pengenalan semula cukai itu adalah sama dengan GST.

Dalam pada itu, Ramon mahu kerajaan segera melaksanakan semula GST, mengambil kira pandemik COVID-19 di negara ini semakin pulih, dan mahu sistem percukaian itu bergerak seiring dengan pemulihan ekonomi negara.

Ujarnya negara terpaksa meminjam dengan lebih banyak, sekaligus akan menjejaskan kelayakan kredit dan kos meminjam lebih tinggi serta jumlah hutang akan terus meningkat sekiranya pelaksanaan semula GST terus dilengahkan.

BBerkaitan

Latest articles