KUALA LUMPUR: Tindakan sebuah akhbar berbahasa Cina yang menyiarkan imej Jalur Gemilang tanpa lambang bulan sabit disifatkan sebagau memalukan dan mencalar maruah negara, tegas pakar bahasa dan perpaduan, Prof. Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong.
Beliau menambah permohonan maaf semata-mata tidak memadai, malah pihak yang bertanggungjawab wajar dikenakan hukuman maksimum di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan, kerana implikasi perbuatannya yang boleh menjejaskan keharmonian dan perpaduan negara.
“Kesan dari kejadian ini sangat besar, apatah lagi simbol bulan sabit yang hilang itu melambangkan agama Islam sebagai agama Persekutuan. Kesalahan ini tidak sepatutnya berlaku, lebih-lebih lagi oleh sebuah organisasi media yang besar,” demikian memetik laporan Malaysia Gazette.
Menurut Kok Seong, sebagai akhbar yang mempunyai edaran tinggi dan prosedur editorial ketat, adalah mustahil kesilapan sebesar itu berlaku secara tidak sengaja tanpa melalui beberapa lapisan tapisan.
Beliau turut membidas grafik yang turut meletakkan bendera Malaysia di belakang bendera China dalam saiz lebih kecil, yang disifatkannya sebagai tidak beretika dan bertentangan dengan semangat nasionalisme.
“Ini bukan kali pertama kes seumpama ini berlaku. Kita pernah lihat Jalur Gemilang dipaparkan dengan bintang lima, malah masih ramai rakyat Malaysia yang tidak boleh berbahasa Melayu. Adakah selepas hampir 70 tahun merdeka, ini masih boleh diterima?” soalnya.
Dalam masa sama, beliau menyifatkan insiden-insiden seperti ini sebagai manifestasi kegagalan dalam proses pembentukan negara bangsa dan menyeru supaya kerajaan serta agensi berkaitan mengambil tindakan lebih tegas untuk memastikan perkara sama tidak berulang.
Sebelum ini, akhbar Sin Chew Daily tampil memohon maaf atas kesilapan menyiarkan ilustrasi Jalur Gemilang tanpa bulan sabit, dan menyifatkannya sebagai “kesilapan teknikal”.
Versi digital grafik itu telah dipinda, manakala versi bercetak yang dikemaskini diterbitkan semula hari ini.