Menurut Pakar perlembagaan, Profesor Dr Shamrahayu Ab Aziz, hanya Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sahaja yang layak menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk memaklumkan perkembangan semasa sama ada beliau masih mempunyai kepercayaan majoriti atau sebaliknya di parlimen.
Dr Shamrahayu juga menyifatkan tindakan Presiden PKR, Anwar Ibrahim yang mahu menghadap Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi mempersembahkan sokongan majoriti yang didakwanya boleh membentuk kerajaan baru telah mengelirukan orang ramai mengenai peranan Seri Paduka Baginda.
“Orang ramai jangan keliru kerana Anwar bukan perdana menteri,” katanya seperti dipetik Sinar Harian.
Dalam situasi dakwaan Ahli Parlimen Port Dickson itu juga, Dr Shamrahayu berkata, jika benar Anwar memiliki akaun bersumpah (SD) daripada anggota parlimen sekalipun, ia tidak boleh dibawa kepada baginda kerana jawatan perdana menteri masih belum dikosongkan.
“Kalau ada akaun bersumpah (SD) pun tidak boleh bawa kepada Seri Paduka kerana jawatan perdana menteri itu tidak kosong.
“Maknanya Anwar tidak perlu persembahkan kepada Agong. Apa yang perlu Anwar buat, beritahu kepada Muhyiddin tentang keadaan kepercayaan kepada beliau sebagai perdana menteri dan barulah Muhyiddin boleh menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk letak jawatan atau meminta untuk dibubarkan dewan,” katanya.
Tambahnya lagi, Seri Paduka tidak berperanan dalam menentukan siapa yang memiliki atau hilang kepercayaan majoriti dalam keadaan tiada kekosongan jawatan perdana menteri.
Jika berlaku pun kekosongan jawatan Perdana Menteri, Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa untuk menentukan siapa ahli parlimen yang mempunyai kepercayaan majoriti dalam dewan.
“Kalau dulu, Tun Dr Mahathir Mohamad ialah Perdana Menteri, sebab itu Agong perkenan untuk Tun Mahathir menghadap Seri Paduka. Kalau tidak, semua orang boleh cakap dia ada majoriti dan mahu menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk jadi perdana menteri,” katanya.
Sehubungan itu, bagi membuktikan dakwaannya benar, Anwar seharusnya menggunakan saluran demokrasi iaitu Dewan Rakyat melalui usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin bagi membuktikan anggota parlimen Pagoh itu telah hilang kepercayaan majoriti.
Ia berasaskan kepada Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan, yang mana, jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka perdana menteri hendaklah meletak jawatan Jemaah Menteri melainkan jika atas permintaannya, parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong.
Begitu juga dengan ahli-ahli parlimen yang didakwa menyokong Anwar, mereka juga perlu tampil menyatakan pendirian masing-masing.
“Kalau Muhyiddin datang kepada Agong serta menyembah maklum kepada Seri Paduka Baginda bahawa beliau telah hilang kepercayaan majoriti, barulah kuasa dan peranan Seri Paduka bermula untuk menentukan siapa yang ada majoriti,” jelasnya.