Pakar IJN Dipilih Sertai Pasukan Perubatan Sultan Brunei

KUALA LUMPUR: Ketua Kardiologi dan Pengarah Perkhidmatan Kegagalan Jantung Institut Jantung Negara (IJN), Datuk Seri Dr Azmee Ghazi, dipilih untuk menyertai pasukan perubatan yang mengendalikan prosedur pembedahan penting melibatkan Sultan Brunei, Sultan Hasanal Bolkiah.

Dalam satu kenyataan hari ini, IJN memaklumkan pemilihan Dr Azmee mencerminkan tahap keyakinan tinggi terhadap kepimpinan klinikal beliau serta kepakaran khusus yang dimiliki institut itu dalam rawatan kardiovaskular bertaraf tertinggi.

Menurut IJN, jemputan untuk menyumbang kepakaran bersama pasukan perubatan diraja Brunei merupakan satu pengiktirafan profesional yang amat bermakna.

“Ia menegaskan kedudukan IJN sebagai pusat kecemerlangan serantau dengan kepakaran yang diiktiraf merentasi sempadan bagi rawatan kardiovaskular yang kompleks dan berteknologi tinggi, berasaskan pengalaman berdekad-dekad, pencapaian klinikal serta piawaian tanpa kompromi,” menurut kenyataan itu.

IJN turut menjelaskan penglibatan Dr Azmee membuktikan peranan kepimpinan beliau dalam bidang kardiologi lanjutan dan pengurusan kegagalan jantung, selain mencerminkan komitmen institut tersebut dalam melahirkan pakar yang memenuhi penanda aras antarabangsa.

“Kami sentiasa bersedia menyalurkan kepakaran di mana sahaja diperlukan, berteraskan profesionalisme, ketepatan dan amanah dalam perkhidmatan,” tambah kenyataan itu.

Dalam pada itu, IJN mendoakan agar prosedur pembedahan yang dijalani Sultan Hasanal Bolkiah berjalan lancar serta baginda dikurniakan kesembuhan yang cepat dan sempurna.

BBerkaitan

Latest articles