Pakar Gesa Ibu Bapa Jadi Benteng Ancaman CSAM Terhadap Anak-anak

KUALA LUMPUR: Golongan profesional khususnya dalam bidang komunikasi dan teknologi menyarankan para ibu bapa memainkan peranan lebih aktif dalam mengambil langkah pencegahan eksploitasi seksual kanak-kanak dalam talian atau Child Sexual Abuse Material (CSAM), yang kini semakin mudah menular melalui platform digital.

Cik Nurul Nabilah Shukri menegaskan perkembangN pesat teknologi serta akses meluas kepada telefon pintar dalam kalangan kanak-kanak dan remaja dikenal pasti sebagai antara faktor utama mengapa kandungan CSAM mudah diedarkan dan mensasarkan golongan bawah umur.

Malah pensyarah di sebuah universiti swasta itu menambah, keadaan ini diburukkan lagi apabila kanak-kanak yang masih mentah mudah mempercayai permintaan rakan baharu dan mesej daripada individu tidak dikenali, sekali gus membuka ruang kepada kegiatan online grooming.

“Dari sudut mangsa, rasa ingin tahu yang tinggi ketika memasuki fasa remaja, ditambah pula dengan kurangnya pendidikan keselamatan digital, menjadikan mereka lebih mudah terpengaruh.

“Ada mangsa yang terperangkap melalui pujukan halus, ugutan atau normalisasi tingkah laku tidak sihat dalam kalangan rakan sebaya serta pengaruh kandungan di internet, sehingga akhirnya terdedah kepada ketagihan dan trauma berpanjangan.

“Sehubungan itu, langkah pengesanan awal dilihat amat penting bagi mengelakkan kanak-kanak bukan sahaja menjadi mangsa, malah berpotensi menjadi pemangsa,” katanya kepada The Rakyat Insight.

Menurut Nurul Nabilah, antara langkah yang ditekankan termasuk pemantauan penggunaan gajet oleh ibu bapa, kerjasama sekolah dan pendidik dalam menganjurkan ceramah kesedaran tentang bahaya online grooming, serta penggunaan teknologi kecerdasan buatan oleh platform media sosial untuk mengesan imej dan akaun mencurigakan.

Ibu bapa juga disaran peka terhadap perubahan emosi anak seperti menyembunyikan telefon, ketakutan apabila menerima mesej, atau menerima wang dan hadiah mencurigakan secara dalam talian.

Tambah Nurul Nabilah, had umur minimum 16 tahun bagi pembukaan akaun media sosial turut mendapat sokongan sebagai satu langkah melambatkan pendedahan awal yang berisiko.

“Namun, langkah itu perlu disertai dengan pemantauan berterusan kerana remaja seusia itu masih terdedah kepada ancaman jika tidak dibimbing dengan betul.

“Perlu tahu kegagalan membendung isu CSAM boleh membawa kesan serius kepada generasi akan datang.

“Dari sudut sosial, ia boleh menormalisasikan hubungan tidak sihat dan menghakis rasa hormat terhadap tubuh sendiri serta orang lain.

“Dari aspek psikologi pula, mangsa berisiko mengalami trauma, keresahan, kemurungan dan krisis keyakinan diri. Lebih membimbangkan, nilai moral dan agama turut terjejas apabila batas maruah dan aurat semakin dipandang ringan,” tegasnya.

Dalam menyebarkan panduan dalam mengatasi masalah sosial semasa ini, seluruh pihak perlu berganding bahu mempergiat usaha melalui ceramah dan modul literasi digital, termasuk mendidik ibu bapa mengenai tetapan keselamatan, parental control dan kaedah berkomunikasi secara berhemah dengan anak tentang isu sensitif.

Pendekatan terlalu keras dikhuatiri menyebabkan anak enggan berkongsi masalah, sekali gus menyukarkan pencegahan awal.

Selain itu, penekanan terhadap etika media, tanggungjawab pengguna dan kesan jangka panjang penyebaran kandungan seksual wajar diperkukuh dalam bilik darjah.

“Penghasilan bahan kempen seperti video pendek, infografik dan sesi bual santai yang mudah difahami remaja, serta galakan untuk melaporkan kandungan meragukan, turut dilihat sebagai langkah strategik.

“Golongan pempengaruh yang mempunyai audiens kanak-kanak juga diingatkan agar memainkan peranan aktif menyebarkan kesedaran demi melindungi generasi muda daripada ancaman CSAM,” kata Nurul Nabilah.

BBerkaitan

Latest articles