KUALA LUMPUR: Kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matin, 6, disahkan meninggal dunia akibat jerutan kuat di leher menggunakan objek seperti tali, lanyard atau kain dipintal, bahkan bukan kerana mati lemas, sebagaimana yang didakwa.
Pakar Perubatan Forensik, Dr. Rohayu Shahar Adnan yang melakukan bedah siasat mendedahkan, kesan jerutan melintang jelas kelihatan di leher mangsa, bersama lebam pada otot leher serta kelenjar tiroid, mengesahkan punca kematian sebagai ligature strangulation (jerutan dengan objek).
“Kedudukan kesan jerutan ialah enam sentimeter di bawah kedua-dua telinga mangsa, dan kesan itu bersifat horizontal, bukan serong seperti dalam kes gantung diri,” jelas Dr. Rohayu ketika memberi keterangan dalam perbicaraan di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini.
Beliau merupakan saksi pendakwaan ke-27 dalam perbicaraan terhadap ibu bapa mangsa, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf, masing-masing berusia 30 tahun, yang didakwa mengabaikan anak mereka sehingga menyebabkan kecederaan fizikal.
Menurut Dr. Rohayu, tiada luka pertahanan seperti kesan menumbuk atau menendang dikesan pada tubuh Zayn, namun terdapat trauma tumpul dan tajam yang dipercayai berlaku sebelum kematian.
“Kecederaan ini tidak menyebabkan kematian, namun ia konsisten dengan penderaan fizikal terhadap mangsa. Reaksi sistem pertahanan badan yang dilihat pada tisu menunjukkan kecederaan itu adalah perimortem, iaitu berlaku sebelum kematian,” katanya.
Dalam keterangan lanjut, Dr. Rohayu turut menolak kemungkinan kematian berpunca daripada lemas, meskipun terdapat kesan ‘washer woman appearance’ atau kedutan kulit pada tapak tangan dan kaki — satu tanda biasa pada mayat yang terendam dalam air.
“Tiada tanda-tanda lemas. Organ dalaman juga tidak menunjukkan sebarang penyakit serius. Apa yang berlaku ialah jerutan cukup kuat sehingga menyekat oksigen ke otak dan paru-paru, lalu menyebabkan kematian,” katanya.
Mengikut pertuduhan pindaan, kedua-dua tertuduh didakwa mengabaikan Zayn Rayyan dalam keadaan yang boleh menyebabkan kecederaan fizikal, antara jam 12 tengah hari, 5 Disember hingga 9.55 malam, 6 Disember 2023, di sekitar Blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berhampiran.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda sehingga RM50,000 atau kedua-duanya sekali.
Prosiding hari ini yang memasuki hari ke-15 dianggap antara paling penting apabila punca kematian akhirnya disahkan secara jelas oleh pakar forensik.