Pakar Forensik: Kematian Zara Qairina Bukan Akibat Terjatuh Secara Tidak Sengaja

KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner hari ini diberitahu bahawa kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir, berkemungkinan bukan disebabkan terjatuh secara tidak sengaja atau ditolak dari kedudukan berdiri.

Pakar patologi forensik Hospital Queen Elizabeth, Dr Jessie Hiu, yang berpengalaman menjalankan antara 100 hingga 150 bedah siasat setiap tahun, berkata penilaian itu dibuat berdasarkan pemeriksaan fizikal di lokasi kejadian serta penelitian terhadap rekod perubatan mangsa.

Menurutnya, ketinggian palang besi mendatar paling atas pada pagar konkrit tingkat tiga asrama tempat mangsa ditemui ialah 118 sentimeter, manakala ketinggian Zara direkodkan 154 sentimeter.

“Perbezaan setinggi 36 sentimeter ini menunjukkan palang berkenaan berada di atas pusat graviti badan si mati. Justeru, pada hemat saya, agak mustahil mangsa terjatuh secara tidak sengaja atau ditolak ketika berdiri di tepi pagar,” katanya ketika membacakan kenyataan bertulis setebal lima muka surat di hadapan Koroner, Amir Shah Amir Hassan.

Sebaliknya, Dr Hiu berpendapat remaja itu mungkin memanjat pagar konkrit, melintasi palang besi dan berdiri di atas pagar tersebut sebelum kejadian berlaku.

Beliau menjelaskan, pandangan itu turut disokong hasil semakan laporan radiograf, imbasan CT serta CTA yang dijalankan terhadap mangsa.

Dr Hiu yang berkhidmat di Hospital Queen Elizabeth sejak 1998 juga kerap dipanggil sebagai saksi pakar di pelbagai mahkamah di Sabah dan Labuan antara 10 hingga 15 kali setahun.

Zara Qairina, 13, ditemui tidak sedarkan diri di kawasan asrama sekolahnya di Papar sekitar jam 4 pagi pada 16 Julai lalu, sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth keesokan harinya.

Jenazahnya kemudian digali semula pada 9 Ogos bagi tujuan bedah siasat susulan dakwaan mangsa menjadi mangsa buli.

Inkues kematian pelajar itu dijadual berlangsung sehingga 30 September dengan lebih 60 saksi dijangka dipanggil memberi keterangan.

BBerkaitan

Latest articles