Pakar Dedah Kesan Hirisan Pada Leher Wanita Ditemui Mati Selepas 4 Hari

SEBERANG JAYA: Misteri kematian seorang wanita berusia 44 tahun di sebuah pangsapuri di Jalan Tuna mula terungkai selepas pemeriksaan awal forensik mendapati terdapat kesan hirisan pada bahagian leher mangsa, dipercayai dibunuh suaminya sendiri empat hari sebelum mayat ditemukan.

Pakar Patologi Forensik Hospital Pulau Pinang, Datuk Dr. Zahari Noor berkata, bedah siasat penuh dijangka dilakukan esok bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.

Menurutnya, selain kesan hirisan, terdapat juga petunjuk awal kemungkinan mangsa mengalami sesak nafas (suffocation) sebelum meninggal dunia.

Kes ini terbongkar selepas seorang lelaki berusia 28 tahun tampil menyerah diri di balai polis, mengaku membunuh isterinya beberapa hari lalu.

Susulan pengakuan itu, polis bergegas ke unit pangsapuri berkenaan dan menemukan mayat mangsa di bilik belakang rumah tersebut.

Ketua Polis Negeri, Datuk Azizee Ismail mengesahkan siasatan sedang dijalankan mengikut kes disyaki bunuh.

Motif dan keadaan sebenar kejadian masih dalam siasatan lanjut pihak berkuasa.

BBerkaitan

Latest articles