KUALA LUMPUR: Langkah pemberian potongan tol sebanyak 50 peratus memerlukan pengurusan kewangan yang teliti bagi memastikan manfaatnya seimbang dengan kos yang ditanggung kerajaan, kata Pengerusi Majlis Penasihat Pengguna Negara, Mohd Azmi Abdul Hamid.
Mohd Azmi menyifatkan langkah ini sebagai positif dalam membantu rakyat dan memeriahkan suasana perayaan.
Namun, beliau mencadangkan agar potongan tol disasarkan kepada golongan B40, yang lebih memerlukan sokongan ekonomi.
“Golongan B40 lebih layak menikmati kadar tol lebih rendah atau percuma melalui sistem pengecualian atau diskaun khas. Ini boleh dilaksanakan melalui sistem pembayaran elektronik untuk memastikan bantuan diberikan kepada mereka yang benar-benar memerlukan,” katanya.
Menurut beliau, pemberian potongan tol juga mampu merangsang perbelanjaan domestik dalam sektor lain seperti penginapan, makanan, dan hiburan, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara. Tambahan pula, langkah ini dapat meringankan kos perjalanan rakyat, terutama mereka yang pulang ke kampung halaman atau bercuti.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, sebelum ini memaklumkan bahawa keputusan pemberian potongan tol melibatkan kos pampasan RM20.08 juta yang akan ditanggung oleh kerajaan.
Namun, Mohd Azmi mengakui bahawa subsidi besar seperti ini berpotensi memberi tekanan kepada kewangan negara, terutamanya jika dilaksanakan secara berulang untuk setiap musim perayaan.
“Tidak semua golongan B40 memiliki kenderaan untuk menikmati manfaat ini. Langkah ini cenderung memberi lebih banyak faedah kepada golongan pertengahan atau atas. Oleh itu, sebahagian pihak mungkin berpendapat dana ini lebih baik disalurkan untuk memperbaiki sistem pengangkutan awam yang lebih inklusif,” tambahnya.
Mohd Azmi mencadangkan agar pemberian tol bersasar bagi golongan B40 dilaksanakan sebagai pendekatan yang lebih adil dan efektif. Ini bukan sahaja dapat memastikan mereka yang benar-benar memerlukan menerima manfaat, tetapi juga mengelakkan pembaziran sumber negara.
“Tol percuma kini dinikmati oleh semua lapisan masyarakat, termasuk golongan T20, sedangkan bantuan seperti subsidi makanan, baucar pembelian, atau bantuan kewangan lebih penting untuk golongan B40,” ujarnya.
Kerajaan kini diharap terus menilai pendekatan terbaik untuk meringankan beban rakyat, sambil memastikan pengurusan sumber negara dilakukan secara efisien dan lestari.