Pak Lah Pergi Dengan Tenang, Ditemani Ahli Keluarga

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi, menghembuskan nafas terakhir dalam keadaan tenang malam tadi di Institut Jantung Negara (IJN), dikelilingi ahli keluarga terdekat.

Perkara itu dimaklumkan oleh menantunya, Khairy Jamaluddin, yang berkata Allahyarham dimasukkan ke IJN awal pagi semalam sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 7.10 malam.

“Semua adik-beradik, anak-anak serta isteri beliau, Tun Jeanne Abdullah, berada di sisi ketika Pak Lah menghembuskan nafas terakhir. Beliau pergi dalam keadaan yang sangat tenang,” kata Khairy dalam satu sidang media khas di IJN.

Jenazah Allahyarham dibawa keluar dari IJN kira-kira jam 8.55 malam dan dibawa ke kediaman keluarga di ibu negara.

Menurut Khairy, jenazah Tun Abdullah akan dibawa ke Masjid Negara esok bagi penghormatan terakhir.

Orang ramai dijemput hadir memberikan penghormatan dari jam 11 pagi hingga 1 petang di Dewan Solat Pertama Masjid Negara.

“Bagi mereka yang bukan beragama Islam, kita minta agar berpakaian sopan dan sesuai untuk memasuki ruang solat. Pihak Masjid Negara juga akan menyediakan jubah jika diperlukan,” katanya.

Solat jenazah akan diadakan sejurus selepas solat Zohor, sebelum jenazah dikebumikan di Makam Pahlawan, bersebelahan Masjid Negara.

Tun Abdullah, yang lebih dikenali sebagai Pak Lah, merupakan Perdana Menteri Malaysia dari tahun 2003 hingga 2009 dan dikenang sebagai pemimpin berprofil sederhana yang menekankan konsep Islam Hadhari serta tadbir urus yang baik.

BBerkaitan

Latest articles