Pahang, Selangor, Kelantan Jadi Tumpuan Operasi Menyelamat ATM

SHAH ALAM: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memberi tumpuan bantuan kepada Pahang, Selangor dan Kelantan yang menunjukkan situasi terjejas teruk akibat banjir.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang memaklumkan Pahang buat masa ini merekodkan jumlah mangsa banjir seramai 38,399 orang di sembilan kawasan, iaitu Maran, Kuantan, Raub, Kuala Lipis, Jerantut, Temerloh, Pekan, Bentong dan Bera.

Tumpuan lebih diberikan di kawasan berkenaan supaya bantuan menyelamatkan mangsa dapat dipercepatkan.

“Bagi Perak, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Melaka buat masa ini menunjukkan keadaan yang masih terkawal.

“Bagaimanapun ATM sentiasa bersedia dengan kekuatan satu kompeni iaitu lima pegawai dan 97 anggota yang diletakkan dalam keadaan siap siaga di setiap negeri bagi diatur gerak ke lokasi terjejas banjir apabila terdapat keperluan tambahan,” katanya pada sidang media Ops Banjir di Taman Sri Muda, hari ini.

Dalam masa yang sama, Affendi menegaskan dalam menangani krisis bencana seperti ini, ATM lebih melihat kepada kesepaduan antara agensi dengan meletakkan kepentingan keselamatan mangsa sebagai keutamaan yang perlu didahulukan.

Tegasnya lagi, tidak perlu mana-mana pihak bertelagah dan saling menyalahkan di antara satu sama lain sehingga menjejaskan matlamat membantu mangsa.

“Kita tidak boleh lagi bekerja secara bersendirian atau ‘silo’. Sebarang usaha yang dilaksanakan adalah lebih berkesan sekiranya dilaksana dengan berkonsepkan ‘whole of government approach’ bagi memastikan setiap agensi terbabit dapat digembleng secara bersama dan berkesan.

“Sebarang kekurangan dalam aspek pengurusan banjir ini adalah tugas bersama setiap agensi untuk mencari jalan penyelesaian dalam menambah baik operasi yang dilaksanakan dan di masa akan datang,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles