Putrajaya — Kerajaan Negeri Pahang menekankan keperluan pentadbiran dan sistem pendidikan Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) melakukan perubahan menyeluruh serta keluar daripada zon selesa bagi meningkatkan kualiti dan pencapaian pelajar aliran agama di negeri itu.
Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, berkata kerajaan negeri komited merealisasikan resolusi strategik yang digariskan, termasuk sasaran 30 peratus daripada 18 SMAN di Pahang tersenarai dalam kelompok 30 terbaik keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menjelang 2027, sebelum mencapai 100 peratus pada 2031.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Penutupan Bengkel Anjakan Paradigma Pendidikan Sekolah Menengah Agama Negeri Pahang (SMAN) di sini hari ini.
“Sudah tiba masanya sekolah agama di Pahang melakukan perubahan besar. Kita perlu bergerak sebagai satu sistem pendidikan yang lebih dinamik, progresif dan berdaya saing tanpa mengabaikan teras nilai agama,” katanya.
Bagi menyokong usaha itu, Kerajaan Negeri Pahang memperuntukkan RM116.58 juta bagi pengoperasian SMAN pada 2026, selain RM17.4 juta bagi pembinaan baharu dan penyelenggaraan sekolah agama, bertujuan memastikan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif dan berkualiti untuk pelajar serta warga pendidik.
Menurut Wan Rosdy, peruntukan tersebut turut merangkumi peningkatan fasiliti sekolah, pemerkasaan latihan guru, penambahbaikan infrastruktur serta sokongan kepada program akademik bersepadu yang lebih inovatif.
“Kita bukan hanya bercakap tentang sasaran, tetapi kita sudah menyediakan dukungan kewangan dan pelan tindakan yang jelas. Kini, pelaksanaannya memerlukan komitmen padu semua pihak,” katanya.
Beliau turut menzahirkan keyakinan bahawa dengan kerjasama menyeluruh antara pentadbir sekolah, guru, ibu bapa dan pemegang taruh pendidikan, SMAN di Pahang mampu mencapai lonjakan prestasi yang disasarkan.
“Pahang telah membuktikan konsistensi dalam pencapaian pendidikan arus perdana dengan kekal dalam kelompok lima terbaik negara bagi keputusan SPM. Momentum ini juga harus digembleng untuk mengangkat sekolah aliran agama negeri,” katanya.
Wan Rosdy turut merakamkan penghargaan kepada semua peserta bengkel dan pihak berkaitan yang terlibat dalam usaha pemerkasaan pendidikan sekolah agama negeri itu.
“Saya ucapkan syabas dan tahniah kepada semua yang hadir. Saya percaya, jika kita terus fokus dan konsisten, sasaran ini akan dapat dicapai demi masa depan pelajar aliran agama di Pahang,” katanya.










