KUALA LUMPUR: Seorang pesawah berusia 72 tahun dijatuhi hukuman penjara 18 hari oleh Mahkamah Majistret Parit Buntar selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menunjukkan kemaluan kepada seorang remaja perempuan, dua minggu lalu.
Tertuduh, Zainal Abidin Sabri, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Muhammad Syaiful Akmal Mohamad Razi selepas pertuduhan dibacakan.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Zainal didakwa membuka zip seluar dan menunjukkan kemaluannya kepada mangsa yang berusia 18 tahun dengan niat mengaibkan kehormatannya.
Kejadian berlaku di sebuah kedai sejuk beku dalam daerah ini pada 2 Mac 2025, sekitar jam 5.24 petang.
Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Amirah Nabihan Shahrir, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Muhammad Ruhan ‘Imran Abdul Halim.
Ketika prosiding, Majistret Muhammad Syaiful menegaskan bahawa kesalahan tertuduh bukan kali pertama dilakukan, justeru permohonan denda tidak dibenarkan.
“Kamu tidak malu ke tunjuk kemaluan dekat orang? Oleh sebab itu, mahkamah tidak membenarkan denda. Sabit kesalahan, kamu dikenakan penjara 18 hari dari tarikh hari ini. Kamu keluar penjara (nanti), esok dah nak raya (Hari Raya),” katanya.
Mengikut fakta kes, tertuduh menghampiri mangsa yang sedang bekerja dan bertanyakan mengenai minyak masak sebelum mengajukan permintaan tidak senonoh berkaitan pakaian dalam mangsa.
Mangsa yang tidak melayan permintaan itu kemudian melihat tertuduh membuka zip seluar dan menunjukkan kemaluannya sebelum beredar.
Tindakan tidak bermoral lelaki itu turut dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di premis berkenaan.
Susulan laporan dibuat, polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian menahan tertuduh pada 10 Mac lalu bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.