PUTRAJAYA: Tindakan seorang individu yang tular mengisi petrol RON95 ke dalam tong akhirnya memakan diri apabila Kementerian Kewangan bertindak tegas menyekat penggunaan kad pengenalannya daripada terus menikmati subsidi di bawah Program BUDI95.
Menurut kementerian itu, siasatan mendapati individu terbabit merupakan warganegara Malaysia dan pemegang MyKad sah.
Selain sekatan ke atas kad pengenalan, tindakan turut dikenakan terhadap pemilik kenderaan yang terlibat bagi memastikan mereka tidak lagi menerima manfaat subsidi berkenaan.
Kementerian Kewangan dalam kenyataan malam tadi menegaskan, perbuatan mengisi petrol ke dalam bekas bukan sahaja melanggar peraturan, malah dianggap sebagai penyalahgunaan subsidi yang boleh menjejaskan sistem pengagihan bantuan bahan api secara telus dan bersasar.
“Kerajaan tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk ketirisan atau penyelewengan subsidi, lebih-lebih lagi dalam keadaan semasa yang memerlukan kawalan rapi terhadap bekalan serta harga bahan api,” jelas kenyataan itu.
Sehubungan itu, penguatkuasaan akan terus dipertingkat bagi membanteras aktiviti tidak bertanggungjawab, selain memastikan hanya golongan layak menerima manfaat subsidi.
Dalam masa sama, kerajaan turut menghargai keprihatinan orang ramai yang tampil menyalurkan maklumat berkaitan salah guna tersebut.
Orang awam yang mengesan sebarang aktiviti mencurigakan berkaitan subsidi boleh membuat aduan melalui Pusat Perkhidmatan BUDI MADANI menerusi talian 1300-88-9595, WhatsApp di +603-26314595 atau e-mel ke [email protected].










