Pacu ekonomi kitaran, sasar Malaysia jadi hab biojisim – PM Ismail Sabri

Malaysia mampu muncul sebagai hab biojisim menerusi pembangunan ekonomi kitaran, sesuai dengan status negara sebagai pengeksport minyak sawit kedua terbesar di dunia dan penyumbang terbesar dalam industri biojisim.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata bagi memacu pembangunan ekonomi kitaran itu, tumpuan juga diberi kepada pendekatan untuk menggunakan bahan mentah daripada sisa buangan atau lebihan dalam rantaian sektor agrikomoditi.

“Ini termasuk menjadikan sumber biojisim agrikomoditi sebagai antara komponen penting dalam ekonomi kitaran.

“Kerajaan juga amat menggalakkan usaha menjadikan hampas isirung sawit sebagai bahan mentah makanan domestik akuakultur dan penternakan, bagi mengurangkan pergantungan import dan menyumbang kepada inisiatif sekuriti makanan negara,” kata beliau dalam ucapan perasmian Ekspo dan Sidang Kemuncak Agrikomoditi Antarabangsa Malaysia 2022 (MIACES), hari ini.

MIACES anjuran Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi berlangsung di Pusat Pameran dan Antarabangsa Malaysia (MITEC) bermula hari ini hingga Khamis melibatkan penyertaan lebih 350 syarikat dari 39 negara.

Turut hadir Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Zuraida Kamaruddin dan Menteri Sains dan Teknologi Datuk Seri Dr Adham Baba.

Ismail Sabri berkata usaha menggunakan bahan sisa agrikomoditi itu sebagai altenatif kerana menyedari seluruh dunia termasuk Malaysia berdepan cabaran sekuriti makanan akibat ketidaktentuan ekonomi global dan krisis geopolitik serta perubahan iklim.

Beliau berkata perkembangan itu menjejaskan rantaian bekalan makanan kerana ada negara menghentikan eksport bahan makanan untuk keperluan haiwan ternakan.

Pada masa sama, Perdana Menteri turut berharap sektor agrikomoditi dapat membantu negara menjana semula ekonomi dan mengembalikan kestabilan ekonomi rakyat.

— BERNAMA

Komen

Berkaitan

Media Sosial

19,954FansLike
3,912FollowersFollow
21,600SubscribersSubscribe

Terkini


Warning: Module "mbstring" is already loaded in Unknown on line 0