PAC: 104 Ventilator Yang Tidak Berfungsi Dibeli Ketika Adham Jadi Menteri

KUALA LUMPUR: Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata pembelian 104 unit ventilator yang gagal berfungsi dibuat sewaktu Datuk Seri Dr Adham Baba menjadi Menteri Kesihatan.

Malah isu itu juga telah dijawab oleh bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang menafikan proses pembelian berlaku ketika beliau memegang jawatan tersebut.

“Memang semua sudah sedia maklum, ini di bawah, sewaktu menteri Dr Adham Baba.

“Yang Berhormat KJ (Khairy Jamaluddin) pun sudah bagi kenyataan bukan dibuat ketika beliau menjawat jawatan berkenaan,” katanya pada sidang media di Dewan Rakyat, hari ini.

Untuk rekod, Dr Adham dilantik menerajui Kementerian Kesihatan (KKM) di bawah Kabinet Perdana Menteri kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 2020.

Namun di bawah pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri kesembilan menyaksikan Dr Adham bertukar portfolio dengan Khairy yang ketika itu menerajui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Isnin lalu, hasil prosiding PAC setebal 120 muka surat yang dimuatnaik menerusi laman web Parlimen mendedahkan, sebanyak 104 unit ventilator tidak dapat digunakan selain tiada perjanjian bertulis dimeterai antara KKM dan syarikat pembekal, Pharmaniaga Logistics Sdn. Bhd. (PLSB).

Menurut PAC, ketiadaan perjanjian bertulis antara KKM dan PLSB menyebabkan tiada pihak boleh dipertanggungjawabkan untuk diambil tindakan berhubung kegagalan 104 unit ventilator berfungsi.

Mengulas lanjut, Mas Ermieyati menegaskan pihaknya memberi masa dua bulan kepada kementerian itu untuk menjawab lima syor dikemukakan jawatankuasa terbabit susulan Laporan PAC itu, ‘Pengurusan Wabak COVID-19 : Vaksin Luput Tempoh Hayat, Peralatan Ventilator Tidak Dapat Digunakan dan Lebihan Peralatan Perlindungan Peribadi (PPE) di bawah KKM’.

Jelas beliau PAC akan menghantar surat kepada KKM bagi memaklumkan mengenai perkara tersebut.

“Selepas PAC mengadakan prosiding maklum balas, PAC akan membentangkan laporan tindakan susulan berhubung isu ini yang akan mengandungi maklum balas KKM terhadap syor PAC di Parlimen.

“Dalam setiap isu yang disiasat PAC, dua laporan akan dihasilkan iaitu yang pertama laporan PAC yang mana PAC akan memberi rumusan dan syor terhadap isu berkenaan.

“Selepas itu, PAC akan membentangkan laporan kedua iaitu berhubung maklum balas kementerian terhadap syor PAC. Kedua-dua laporan ini akan melalui lima mesyuarat sebelum ia dapat dihasilkan serta dibentangkan di Parlimen,” katanya.

Komen

Berkaitan

Media Sosial

19,954FansLike
3,912FollowersFollow
21,400SubscribersSubscribe

Terkini