Orang Rami Boleh Buat Janji Temu Klinik Kesihatan, Hospital Melalui MySejahtera Mulai Hari Ini

KUALA LUMPUR: Bermula hari ini, orang ramai boleh membuat janji temu di hospital dan klinik melalui aplikasi MySejahtera sedia ada.

Kementerian Kesihatan KKM, memperluas penggunaan sistem janji temu melalui aplikasi MySejahtera bagi mempertingkatkan kecekapan perkhidmatan dengan mengambil kira masa menunggu yang lama di fasiliti KKM.

Menterinya, Dr Zaliha Mustafa berkata, perkhidmatan itu dimulakan di 673 klinik kesihatan secara berfasa bermula dengan Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan (NHSI), saringan kesihatan Peka B40 dan khidmat berhenti merokok.

“Sistem janji temu ini bertujuan membantu fasiliti kesihatan primer mengatur jadual perkhidmatan berdasarkan kapasiti masing-masing dan mengelakkan kesesakan di tempat pendaftaran dan menunggu,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, antara kelebihan sistem janji temu secara dalam talian ini termasuk pelanggan dapat merancang lawatan ke fasiliti kesihatan primer mengikut kesesuaian masa.

Selain itu, pelanggan juga boleh mengubah tarikh janji temu melalui aplikasi MySejahtera dengan mudah tanpa membuat panggilan ke fasiliti kesihatan.

Tambah Dr Zaliha, sistem ini juga mempunyai fungsi peringatan automatik yang memberi peringatan kepada pengguna untuk menghadirkan diri mengikut masa dan tarikh ditempah.

Bagaimanapun, katanya, bagi kes kecemasan, kes demam atau penyakit berjangkit, orang ramai boleh terus ke fasiliti kesihatan tanpa perlu membuat janji temu.

BBerkaitan

Latest articles