KUALA LUMPUR: Mayat lelaki tanpa identiti ditemukan terapung di dalam sebuah kolam takungan air berdekatan sebuah hotel di Seremban, hari ini.
Ketua Polis Daerah Seremban ACP Mohamad Hatta Che Din berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan melihat mayat terapung di dalam kolam takungan air terbabit kira-kira pukul 10.50 pagi.
“Hasil pemeriksaan pegawai penyiasat mendapati tubuh badan mangsa telah menggelembung dan berair serta tiada pengenalan diri ditemukan. Pegawai Perubatan Hospital Tuanku Ja’afar mengesahkan mangsa dianggarkan telah meninggal dunia lebih 24 jam.
“Setakat ini kes tidak menjurus kepada unsur-unsur jenayah sehingga bedah siasat selesai dilakukan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat atau melihat kejadian itu boleh menghubungi pegawai penyiasat Insp Adi Khusaini Saripudin menerusi talian 012-7707282 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban 06-6033222 untuk membantu siasatan.- BERNAMA