BANGI: Calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Bangi, Muhammad Nazrul Hakim Md Nazir tiba di Pusat Pembuangan Undi di Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Empat di sini, pada jam 10 pagi.
Beliau ketika ditemui berpuas hati dengan kehadiran ramai pengundi di pusat pengundian terbabit.
Jelasnya, orang ramai yang turun mengundi membuktikan satu perkembangan positif terhadap proses demokrasi negara.
“Kita lihat ramai orang turun mengundi pada awal pagi ini mungkin bagi mengelak hujan yang dijangka berlaku pada sebelah petang.
“Orang ramai yang turun mengundi ini adalah satu perkembangan positif kepada proses perkembangan demokrasi di Malaysia,”katanya ketika ditemui selepas selesai membuang undi di pusat pengundian di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut memberi respon kepada kehadiran pengundi muda terutama membabitkan undi 18.
Kata Nazrul, golongan ini sukar diramal namun kehadiran mereka untuk membuang undi adalah bukti anak muda juga mahu melibatkan diri dalam proses demokrasi.
“Pengundi 18 yang pertama kali ini nampaknya positif.
“Mereka ini ‘game changer’…kita sampai ke hujung kita tak tahu ke arah mana mereka ini apa direction politik mereka ini.
“Tapi bila mereka turun mengundi kita nampak mereka mahu melibatkan diri dalam proses demokrasi negara,”tambahnya.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru kepada semua penduduk di Parlimen Bangi untuk keluar menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) hari ini.
Beliau juga sempat beramah mesra dengan orang ramai yang berada di luar SK Jalan Empat untuk mengundi.