Orang Boleh Marah, Tapi Jangan Fitnah – Anwar

SANDAKAN: Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim tampil mempertahankan rekod kerajaan perpaduan dalam membantu Sabah, sambil menegaskan pentadbirannya merupakan antara yang paling banyak menyalurkan peruntukan kepada negeri itu sejak mengambil alih tampuk pemerintahan.

Berucap di hadapan para pengundi ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Anwar berkata kerajaan sekarang telah menyediakan pelbagai kemudahan dan projek pembangunan untuk rakyat Sabah sehingga menjadikan negeri itu antara penerima manfaat terbesar.

“Kalau nak marah, saya faham. Nak tegur pun boleh. Tapi jangan kata kita tak tolong,” katanya, menyampaikan pesanan khusus kepada golongan ibu yang hadir.

“Kerajaan PH inilah yang paling banyak membantu orang Sabah.”

Anwar turut menggesa rakyat Sabah memberi mandat lebih besar kepada PH dalam PRN kali ini supaya gabungan itu mempunyai suara yang lebih kuat untuk meneruskan agenda kebajikan rakyat.

Beliau secara khusus meminta sokongan terhadap calon PH di dua kerusi iaitu Vivian Wong Shir Yee (DUN Elopura) dan Tang Szu Ching (DUN Tanjong Papat).

Di samping itu, Anwar menegaskan bahawa kestabilan politik di peringkat negeri dan persekutuan adalah kunci utama bagi memastikan Sabah mencapai kemajuan yang mapan.

Beliau memberi jaminan bahawa tuntutan Sabah terhadap 40% hasil negeri yang telah lama dibangkitkan akan diselesaikan di bawah pentadbiran beliau.

“Kita dah janji, dan kita akan laksanakan. Ini bukan janji kosong seperti sebelum ini,” tegasnya.

BBerkaitan

Latest articles