Ops Sky : SPRM Tidak Bekukan Akaun Selebiriti Yang Dipangil Untuk Bantu Siasatan

PUTRAJAYA, – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan bahawa akaun bank tiga selebriti yang dipanggil berhubung siasatan Operasi Sky (Op Sky) tidak akan dibekukan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, menjelaskan bahawa selebriti terbabit hanya dipanggil untuk membantu siasatan kerana mereka dilantik sebagai duta syarikat perunding kewangan yang kini disiasat.

“Saya ingin menjelaskan bahawa isu ini tidak ada kaitan dengan akaun bank mereka. Kami tidak akan membekukan akaun mereka,” kata Azam dalam satu sidang akhbar di Putrajaya hari ini.

Sebelum ini SPRM telah mengesahkan bahawa tiga individu yang hadir memberikan keterangan ialah pelakon terkenal Datuk Jalaluddin Hassan, penyanyi Ziana Zin, dan Angkasawan Negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor. Mereka dipanggil bagi membantu siasatan terhadap syarikat yang dikaitkan dengan kes pengubahan wang haram dan penipuan kewangan.

Dalam Pada itu, Azam turut menyatakan bahawa pihaknya tidak mempersoalkan jumlah bayaran yang diterima oleh selebriti tersebut daripada syarikat berkenaan. Walau bagaimanapun, jika jumlah pelaburan yang digunakan untuk membayar mereka adalah besar, ia mungkin menimbulkan tanda tanya dan memerlukan penelitian lebih lanjut.

“Ketika ini, siasatan akan menilai semua aspek dan melihat sama ada keterangan mereka dapat membantu dalam penyiasatan kes ini,” tambahnya.

Mengulas lanjut mengenai kes ini, SPRM telah membekukan akaun-akaun bank yang berjumlah RM18 juta berkaitan dengan kes ini. Siasatan juga mendapati bahawa peminjam wang, terutamanya dalam kalangan penjawat awam, telah digalakkan untuk melabur semula dalam syarikat perunding kewangan berkenaan.

Menurut Azam, “Ini adalah satu perkara yang perlu diteliti dengan lebih mendalam kerana ia mungkin melibatkan satu lagi kesalahan iaitu pengambilan deposit secara haram. Walaupun kes ini bukan sepenuhnya di bawah bidang kuasa akta pencegahan rasuah, kami tetap akan meneruskan siasatan mengenainya katanya

BBerkaitan

Latest articles