KUALA LUMPUR: Operator yang mengusahakan tapak Father’s Organic Farm hanya dibenarkan mengendalikan perusahaan ladang organik sahaja.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata operator tersebut langsung tidak mempunyai permit dari pihak berkuasa untik mengendalikan tapak perkhemahan, menjadikan ia dilakukan secara haram.
“Mengikut laporan yang saya terima kawasan perkhemahan ini diusahakan tanpa lesen sah dan pengusaha tidak mendapatkan lesen kebenaran untuk tapak perkhemahan ini.
“Semakan juga mendapati tidak ada lesen diberikan oleh Majlis Perbandaran Hulu Selangor dan ini satu kesalahan di bawah Akta 133,” katanya kepada pemberita di lokasi, hari ini.
Tambah beliau, sekiranya disabit kesalahannya boleh dihukum penjara tiga tahun atau denda tidak melebihi 50,000.
Justeru katanya, pengusaha tapak perkhemahan itu hanya ada kebenaran untuk membangunkan ladang organik tetapi bukan untuk tapak perkhemahan tersebut
“Saya boleh mengesahkan sekarang kita tidak terima sebarang permohonan daripada operator berkenaan.”