Operasi Taman Tema I-City Diteruskan Walaupun MBSA Keluarkan Amaran, Kompaun

MBSA Keluarkan Kompaun, Taman Tema I-City Masih Beroperasi Tanpa Kebenaran

SHAH ALAM: Taman Tema I-City didakwa terus mengoperasikan gelongsor air kaca walaupun telah menerima amaran serta kompaun daripada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Menurut MBSA, pihaknya telah mengeluarkan enam notis amaran dan satu notis kompaun dari tahun lalu hingga 23 Januari 2025 berhubung pelanggaran peraturan.

Antara notis yang dikeluarkan termasuk:

14 November 2024: Notis amaran mengarahkan pemberhentian kerja-kerja pembinaan tanpa kelulusan di bawah Seksyen 72 (1)(a) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133).

22 November 2024: Notis Borang F di bawah Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) bagi mengemukakan permohonan kebenaran merancang.

22 November 2024: Notis Borang G di bawah Akta 172 untuk menghentikan segera semua aktiviti pemajuan tanpa kebenaran.

23 Januari 2025: Notis Borang H di bawah Akta 172 mengarahkan pemulihan semula tanah kepada keadaan asal setelah gagal mendapatkan kebenaran merancang.

MBSA menegaskan bahawa setiap projek pembangunan dan operasi taman tema di Shah Alam perlu mematuhi peraturan pihak berkuasa tempatan, termasuk mendapatkan kelulusan bertulis sebelum memulakan sebarang aktiviti atau pembinaan.

Sebagai langkah tegas, MBSA telah menutup tapak projek dan menggantung segala aktiviti sehingga kelulusan rasmi diperoleh.

MBSA Keluarkan Notis Baharu

Pada 19 Januari 2025, MBSA mengeluarkan satu lagi notis amaran bagi menghentikan segera aktiviti hiburan Glass Water Slide di bawah Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan Negeri Selangor 1995 Pindaan 2001 Seksyen 6 (1)(a).

Namun, pemantauan mendapati pihak taman tema masih meneruskan operasi tanpa kelulusan, menyebabkan MBSA mengeluarkan Notis Kompaun Engkar Arahan pada 30 Januari 2025 di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) Seksyen 121.

“MBSA ingin menegaskan bahawa keselamatan awam adalah keutamaan utama kami. Kami komited untuk memastikan pematuhan terhadap undang-undang serta peraturan yang ditetapkan,” kata MBSA dalam satu kenyataan.

MBSA juga memaklumkan bahawa pemantauan lebih ketat akan dilakukan terhadap taman tema tersebut, dan tindakan tegas akan diambil sekiranya masih berlaku pelanggaran peraturan.

Pengunjung Cedera Dalam Insiden Gelongsor Air

Dalam perkembangan berkaitan, seorang pengunjung mengalami kecederaan selepas pelampung permainan gelongsor air kaca Sky City di taman tema itu terjatuh dari penyangkut lalu menimpanya.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, berkata siasatan telah dijalankan susulan laporan yang dibuat pada jam 1 pagi selepas video kejadian tular di media sosial.

Mangsa telah menerima rawatan di sebuah poliklinik di Ken Rimba, Seksyen 16, Shah Alam.

BBerkaitan

Latest articles