Operasi Menyelamat Mangsa Banjir Mencabar Kerana Kepadatan Penduduk Shah Alam

SHAH ALAM: Kepadatan penduduk yang tinggi di Shah Alam, terutama di Taman Sri Muda menberi cabaran besar kepada agensi keselamatan menjalankan kerja-kerja membantu mangsa banjir.

Perkara itu dinyatakan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, selain menambah kerja-kerja memindahkan mangsa banjir ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di negeri lain sedikit berbeza dan lebih mudah kerana lokasi dan bentuk penempatannya.

Merujuk bencana banjir yang teruk di Taman Sri Muda, beliau berkata ketika banjir berlaku, mangsa-mangsa berada di kediaman masing-masing dan dalam masa yang sama, paras air pada tahap bahaya turut menjejaskan kerja-kerja menyelamat.

“Ketika itu keadaan banjir masih paras bahaya. Kita dapati di Shah Alam mangsa-mangsa banjir berada di kediaman teres dan pangsapuri jadi kepadatan penduduk berbeza daripada negeri lain.

“Di sini, penempatan padat memang jadi cabaran besar mengeluarkan mangsa,” katanya ketika sidang media di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK), Taman Sri Muda hari ini.

Dalam masa yang sama Acryl Sani mengakui, koordinasi pengurusan semua agensi pada awalnya agak perlahan.

Namun ia berjaya disegerakan selepas koordinasi gerakan menyelamat mangsa banjir dilaksanakan pada hari kedua.

“Saya lihat insiden berlaku di Taman Sri Muda ini Shah Alam khususnya kita dapati koordinasi semua agensi memang pada awalnya agak perlahan tetapi selepas hari kedua, kita telah menggerakkan dan mengkoordinasi semua tindakan daripada semua agensi.

“Kemudian, kita (semua agensi) tingkatkan keupayaan antara semua agensi untuk memastikan semua yang terlibat dapat kita bantu,” menurutnya.

Dalam sidang media yang sama, Acryl memaklumkan terdapat tujuh kes pecah premis yang dilaporkan berlaku semasa banjir di Selangor.

Pecah premis yang melibatkan kedai makanan dan bekalan keperluan harian ini dikatakan berpunca daripada mangsa banjir yang terdesak. 

Daripada jumlah berkenaan, empat kes pecah premis berlaku di Shah Alam, dua di Klang Utara dan satu Klang Selatan.

Jelasnya, selain telah melakukan beberapa tangkapan, polis akan mengambil tindakan sewajarnya, dengan meletakkan 30 pasukan Cantas CID di kebanyakan lokasi banjir di Selangor.

BBerkaitan

Latest articles