KUALA LUMPUR: Operasi besar-besaran dikenali sebagai Op Viking mendedahkan skala luar biasa kegiatan pengubahan wang haram apabila polis berjaya menyita dan membekukan aset bernilai hampir RM470 juta, sekali gus membongkar rangkaian jenayah kewangan yang didakwa beroperasi sejak bertahun-tahun.
Siasatan yang dikendalikan oleh Pasukan Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman itu bermula sejak Oktober tahun lalu, hasil risikan panjang sejak 2018.
Kes berprofil tinggi ini dipercayai melibatkan pelbagai aktiviti haram termasuk pinjaman wang tidak berlesen, manipulasi pasaran saham serta pelanggaran undang-undang korporat.
Dalam tempoh 15 Oktober hingga 13 Januari lalu, seramai 10 individu diberkas bagi membantu siasatan, termasuk tujuh lelaki dan tiga wanita.
Antara yang ditahan ialah ahli perniagaan dikenali sebagai Victor Chin.
Ketua Unit Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram PDRM, Datuk Fazlisyam Abdul Majid berkata, kumpulan berkenaan disyaki melanggar beberapa undang-undang utama seperti Akta Pemberi Pinjam Wang 1951, Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 serta Akta Syarikat 2016.
“Siasatan mendapati mereka menggunakan pelbagai taktik termasuk menyediakan perjanjian pinjaman mengelirukan, mengugut peminjam dan memanipulasi pasaran saham bagi mengaut keuntungan,” katanya dalam sidang media.
Tambah beliau, antara aset yang dibekukan termasuk lapan hartanah, 32 kenderaan serta pegangan saham dalam dua buah syarikat.
Lebih mengejutkan, sebanyak 2.98 bilion unit saham bernilai RM323.6 juta turut disita, selain akaun dagangan bernilai RM64.2 juta dan 404 akaun bank yang mengandungi RM85.6 juta.
Polis turut merampas pelbagai barangan mewah seperti kereta, motosikal, jam tangan eksklusif, barang kemas, beg berjenama serta wang tunai dalam pelbagai mata wang.
Setakat ini, seramai 41 individu telah dipanggil untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan yang masih berjalan.
Fazlisyam menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dalam usaha membanteras kegiatan pengubahan wang haram dan akan terus menjejaki mana-mana pihak yang terlibat, sama ada secara langsung atau tidak.
Beliau turut menggesa orang ramai tampil menyalurkan maklumat sekiranya mempunyai sebarang petunjuk berkaitan aset atau aktiviti mencurigakan.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.
Terdahulu, media melaporkan serbuan di beberapa premis dikaitkan dengan Victor Chin turut menemukan pelbagai barangan bernilai tinggi termasuk wang tunai, barang kemas dan kenderaan mewah, dipercayai sebahagian daripada rangkaian “mafia korporat” yang kini sedang dibongkar pihak berkuasa.










